Posted by: mozaman75 | 23 November 2009

Ujian hidup, jangan buruk sangka terhadap Allah

Bulan

Sebagai manusia kerdil, kita pasti tidak akan terlepas dari diduga perbagai masalah dan ujian yang mana ketentuan ini sabanhari meletakkan hubungan kekeluargaan atau hubungan suami isteri dalam kedudukan yang amat goyah.

Pelbagai senario yang boleh kita ungkapkan – Anak ditangkap hisap dadah, anak kawin lari, suami atau isteri ada skandal di luar rumah, kematian anak yang  di sayangi, anak lahir kurang sempurna, anak kandung atau menantu sisih keluarga atas pelbagai alasan, perebutan harta, jatuh sakit, suami atau isteri gila kerjaya terabai rumah tangga, kakak duduk serumah dengan bangla, kena buang kerja, bisnes tak menjadi, suami tak mahu keluar kerja, pasangan kurang siuman dan 1001 macam lagi masalah unik yang telah dan akan melanda setiap individu.  

Bila diduga sedemikian rupa, ramai yang menunding jari ke arah orang lain dan yang lebih berat lagi menyalahkan Allah swt kerana mengujinya sedemikian rupa. Apakah kita sedar bahawa tindakan kita tersebut tidak tepat dan bakal mengundang murka Allah?

Allah berfirman, yang bermaksud:

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta.”

[Surah al-Ankabut ayat 2-3]

Ada juga di kalangan kita yang menyedari bahawa semua itu adalah dugaan atau ujian dari Allah dan mula mencongak kebelakang andainya ada apa-apa yang kita telah lakukan yang mungkin mengundang ujian tersebut. Kita pun mulalah berfikir:

“Mungkin aku nazar dulu terlupa nak bayar”

“Mungkin aku makan nasi lemak di gerai tapi terlupa nak bayar”

“Mungkin aku tak keluar zakat”

“Adakah kerana aku belum buat kenduri kesyukuran”

“Mungkin pasal aku tak jadi pergi umrah baru-baru ni”

“Mungkin aku teraniaya rakan sepejabat” dan pelbagai kemungkinan lain yang bermain di fikiran.

Tidakkah kita sedar bahawa mempersoalkan kemungkinan yang sedemikian rupa adalah lebih menjurus kepada kita berburuk sangka terhadap Allah?

Kita perlu bersabar dan bersangka baik terhadap Allah kerana setiap apa yang berlaku itu pasti ada hikmahnya di sisi Allah. Apabila kita di landa musibah, janganlah terus menerus berpeluk tubuh. Lakukan sesuatu, iktiar jalan keluar, berdoa mohon Allah berikan kita hidayah dan kekuatan.

Orang melayu secara amnya perlu berfikiran terbuka sekiranya melihat jiran, ahli masjid, sanak saudara, adik beradik di timpa kesusahan atau ujian. Janganlah terus menghukum mereka dengan mengatakan:

“Sipolan tu, dia tak pernah solat, kat masjid pun tak pernah nampak batang hidung. Sebab tu dia sekarang sakit kuat!”

“Kau tahu, dia tu dulu kat office selalu aniaya staff, nah sekarang terima balasan Allah!”

“Bang Aji  yang duduk kat tepi selekoh tu rumah dia baru masuk pencuri. Hah, terima balasan Tuhan. Tulah bakhil sangat!”

“Boss kita tu tegas sangat, sebab tu dia kena buatan orang!”

Dan pelbagai senario lain yang memang kebiasaan kita dengar. Jangan pandang serong kerana hikmah ujian tersebut hanya Allah sahaja yang mengetahui dan Allah tidak menguji hambanya dengan ujian yang tidak tertanggung olehnya. Janganlah kita membudayakan “Karma” seperti yang dipercayai oleh mereka yang belum beragama Islam. Janganlah terikut-ikut pepatah Mat Salleh “What Goes Around Comes Around“, tapi cukuplah dengan mengucapkan “Subhanallah”.

Biasakan juga ucapkan إنا لله وإنا إليه راجعون kepada mereka yang ditimpa ujian atau musibah kerana ungkapan ini bukan hanya sebagai takziah kematian semata-mata bahkan mempunyai barakah yang lebih mendalam. 

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya  dipikul olehnya. Manusia akan mendapat pahala atas kebaikan yang diusahakannya, dan manusia juga akan  menanggung dosa atas kejahatan yang diusahakannya.

(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”

[Surah al-Baqarah ayat 286]

Saya ingin menasihati diri saya dan pembaca semua agar tidak buruk sangka terhadap Allah dan kepada pembaca yang dirundung masalah atau ujian, bersabarlah dan carilah penawar atau jalan keluar yang baik sesungguhnya tiada penyakit tanpa penawar, tiada masalah tanpa penyelesaian.

Sekiranya musibah tersebut telah mengeruhkan hubungan kekeluargaan atau suami isteri, kembalilah kepada asas bahawa hakikat kehidupan manusia itu pasti akan diuji oleh Allah dan keluarga atau suami/isteri adalah tiang sokongan untuk kita bangkit semula dan bukannya bahan untuk dijadikan mangsa keadaan. Kita sesama Islam itu bersaudara, apatah lagi sesama ahli keluarga. Berbaiklah kerana kita saling memerlukan antara satu dengan yang lain.

Saya tinggalkan anda dengan sepotong kalam Al-Quran dan hadis Sabda Rasulullah SAW untuk difikirkan sejenak:

“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila di timpa musibah, mereka mengucapkan : ‘Innaa lillahi wa inna ilaihi raaji’uun’. Mereka itulah yang mendapatkan keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Rabbnya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”

[Surah al- Baqarah ayat 155 – 157]

“Tiada seorang Muslim yang menderita kelelahan atau penyakit, atau kesusahan hati, bahkan gangguan yang berupa duri melainkan semua kejadian itu akan berupa penebus dosanya.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

-mozaman75-


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: