Posted by: mozaman75 | 14 November 2009

Tahun Satu dan persaingan maha hebat

Saya baru sahaja kembali dari program orientasi anak sulung saya yang akan memasuki Tahun Satu (Tahun 1)  pada 4 Januari 2010 akan datang.

Walaupun dikurniakan rezeki oleh Allah untuk menghantar anak ke sekolah antarabangsa yang tidak begitu jauh dari rumah, saya telah membuat keputusan untuk mendaftar anak di sebuah sekolah kebangsaan milik kerajaan yang juga tidak begitu jauh dari rumah.

Alasan – saya mahu anak saya bergaul dengan kawan-kawan yang datang dari pelbagai latarbelakang sosial dan agama.

Sebagai persediaan untuk ke Tahun 1, anak saya sudah saya dedahkan dengan persekitaran pra-sekolah semenjak beliau berumur 4 tahun lagi. Jadi program orientasi ini memang dinanti-nanti oleh beliau.

Nah, firasat saya benar berkenaan latarbelakang sosial dan agama ibubapa yang pelbagai.

Saya lihat ada ibubapa yang menghantar anak mereka menaiki kereta mercedes dan ada juga yang naik motosikal kapchai. Bukannya saya berniat membanding-bandingkan yang naik mercedes tu orang berada dan yang naik kapchai tu tidak tapi ini sekadar perbandingan persepsi sosial yang menggunakan aset sebagai kayu pengukur kekayaan. Ada ibubapa yang berpakaian rapi lengkap dengan sepatu dan ada juga yang berpakaian ringkas seolah-olah ingin pergi beriadah ke taman bunga.

Pada saya ini satu perkembangan ini bagus dan sihat kerana kepelbagaian latarbelakang keluarga bakal mencorak karekter anak-anak yang dihantar ke sekolah dan pergaulan ini bakal membentuk semula karekter anak-anak kita selepas ini.

Ini merupakan pengalaman sulung saya menghantar anak ke program orientasi sekolah rendah dan saya ingin bawakan 2 topik pemerhatian:

a) Ujian penilaian kelas – perbandingan zaman dulu dan sekarang 

 b) Harga makanan di kantin sekolah

Seperti biasa, sekolah-sekolah kebangsaan akan mencatatkan kemasukan pelajar yang begitu tinggi saban tahun. Tahun 1 untuk sesi 2010 merekodkan penempatan lebih kurang 473 orang pelajar dalam 11 buah kelas yang setiap sebuah kelas secara puratanya bakal menempatkan seramai 43 orang pelajar.

Lazimnya, ada pelajar-pelajar yang pandai dan pelajar-pelajar yang belum pandai. Cikgu tidak boleh mengunakan firasat untuk terus mengasing pelajar-pelajar ini pada hari orientasi ke dalam kumpulan-kumpulan tertentu maka ujian penilaian adalah cara yang lebih praktikal dan cepat untuk mengetahui tahap kecekapan pelajar-pelajar.

Saya perhatikan, ujian penilaian ini agak menyeluruh, merangkumi penguasaan asas  membaca bahasa malaysia dan inggeris serta kemahiran mengira (matematik mudah / simple mathematics). InsyaAllah anak saya boleh menangani ujian ini dengan baik setelah melalui fasa-fasa pendedahan tersebut di tadika.

Apa yang saya gusar, melihatkan ada bebarapa orang pelajar yang masih tercari-cari jawapan sedangkan separuh dari pelajar yang lain sudah pun menghantar kertas jawapan mereka untuk diperiksa. Saya masih ingat sewaktu saya berada di darjah 1  pada permulaan tahun 80an, saya hanya dibekalkan dengan setahun pengalaman belajar di tadika dan apabila mendaftar di darjah 1, tidak perlu melalui ujian penilaian seperti ini dan tenaga pengajar juga secara keseluruhannya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk semua pelajar darjah satu pada masa itu tahu membaca dan mengira.

Saya kira keadaan sekarang sudah berubah. Pelajar-pelajar Tahun 1 perlu tahu membaca dan mengira (asas) pada hari pertama persekolahan. Hmmm, saya terkenangkan anak-anak tadi yang terkial-kial menyudahkan kertas ujian mereka kerana saya yakin ada di antara mereka yang masih belum pandai membaca dan mengira.

Saya berpendapat, keputusan ujian penilaian tadi dapat digunakan bukan sahaja untuk penempatan pelajar mengikut tahap masing-masing , seharusnya juga digunakan oleh pihak sekolah untuk merangka strategi bagaimana untuk menjadikan pelajar yang pandai menjadi lebih pandai dan pelajar yang belum pandai menjadi pandai.

Matlamat pendidikan negara adalah untuk semua rakyat mendapat pendidikan yang bermutu di mana semua pelajar boleh menjadi pandai. Saya cadangkan agar guru-guru sekolah yang terbaik mengasuh pelajar Tahun 1 dan Tahun 2 yang berada di kelas tercorot dan ibubapa juga perlu memastikan bahawa anak-anak mereka yang belum boleh membaca dan mengira dengan baik di Tahun 1 untuk melatih tubi anak mereka dalam masa 24 bulan yang akan datang agar semua pelajar secara idealnya dapat bersaing di atas platform yang sama bermula di Tahun 3. Persaingan dijangka lebih hebat dan bukan sahaja pelajar-pelajar perlu bersaing, guru-guru dan ibubapa juga harus bersaing agar kualiti pelajaran di sekolah awam kita menjadi lebih baik dan setaraf dengan di negara-negara maju.

SKSB

Perhimpunan

Pemerhatian saya beralih pula kepada soal harga makanan di kantin sekolah. Masih segar di ingatan saya, ibu membekalkan RM1  sebagai duit poket untuk ke sekolah setiap hari. Seringgit insyaAllah cukup untuk makan dan minum di sekolah pada masa itu dan saya pula dari jenis manusia yang tak berapa minat membawa air ke sekolah (bawa bekal makanan ok pulak) jadi saya memang kena beli air di kantin. Berapa duit poket yang ideal sekarang? Saya sedang memikirkannya.

Setelah selesai orientasi, saya pun jemput Abang (panggilan manja untuk anak sulung saya ) untuk menjengah ke kantin sekolah. “Abang nak makan apa?”, saya menyapa. “Mee goreng ayah, sama Teh ‘O’ “, abang membalas. “Mee goreng satu, teh ‘O’ satu, teh tarik satu kak”, pesan saya. “Abang tanyalah atuk tu berapa harga mee goreng Abang dan teh ‘O’, bingkas ayahnya. “Atuk berapa harga?”. “RM2.20 nak”, atuk membalas dengan muka selamba. Ayahnya hampir-hampir pengsan. Mee goreng pinggan kecik dan teh ‘O’ harganya RM2.20. “Dengan teh tarik berapa pak cik”, saya menambah. “Bagi RM3 sudah”, jawap pak cik. Conggakkan saya dah jadi kelamkabut.

Saya terus berfikir sejenak – berapa ringgit nak beri kepada si abang buat belanja di sekolah? Tidak di sangka belanja anak-anak bersekolah rendah sebegitu tinggi. Saya mampu, insyaAllah untuk bekalkan duit poket yang mencukupi untuk anak saya ke sekolah tapi bagaimana ibubapa lain yang pendapatannya tak seberapa.

Buku teks sekolah kerajaan tanggung tapi ibubapa tetap kena buat peruntukan untuk membeli buku-buku latihan atau rampaian. Mungkin initiatif 1Malaysia selepas ini boleh melihat insentif-insentif berikut:

a) hidupkan kembali kupon makanan tambahan untuk pelajar-pelajar kurang berkemampuan

b) peruntukan tetap kepada PIBG untuk program-program integrasi

c) pengecualian semua yuran-yuran sampingan untuk pelajar-pelajar miskin atau pelajar-pelajar yang kematian bapa (atau ibu sekiranya ibu yang menyara keluarga)

d) dana tetap untuk menaiktaraf infrastruktur sekolah (percayalah, Guru-Guru Besar selalu buat kutipan amal atas alasan peruntukan sekolah kecil).

Pelajaran anak-anak di bangku sekolah adalah pelaburan bukan sahaja untuk sesebuah keluarga bahkan untuk masyarakat dan juga negara. Dengan itu, ibubapa yang mampu, masrakat dan negara perlulah terus melabur untuk memastikan tahap literasi anak-anak mencapai tahap yang tertinggi dan pelaburan sebegini memerlukan pengorbanan. Dan pelaburan ini insyaAllah tidak akan merugikan dan bakal membawa pulangan yang besar.

Kepada pemerintah, kalau boleh tengok-tengokkanlah  pelaburan anda di sektor pendidikan ini. Jangan sampai ada sekolah di belakang menara berkembar tercangih di rantau ini, bilik airnya rosak tak ada yang ambik peduli.  Anak miskin tercicir, tiada siapa peduli. Komputer di makmal sekolah dah setahun rosak, tiada siapa peduli.

Sekadar coretan saya untuk berkongsi pengalaman, melihat anak sulung saya mengharungi cabaran baru dalam hidupnya.

“Abang, macammana ujian tadi”, saya bertanya. “Macam kacang goreng ayah”, jawab Abang dengan ikhlas. “Bagus abang, usaha gigih lagi abang”, tegas saya sekadar meningkatkan motivasi si abang.

-mozaman75-


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: