Posted by: mozaman75 | 4 Januari 2010

Nak Kurus, Nak Kurus

Basikal senaman dan penimbang

Senaman secara konsisten adalah cara terbaik untuk kekal sihat

Ramai yang bergelut dengan masalah berat badan dan tidak kurang juga yang bergelut dengan masalah terlalu kurus. Penulis tak pasti sama ada nak jadi gemuk lebih senang dari nak jadi kurus ataupun sebaliknya.

Artikel yang penulis ingin kongsikan hari ini adalah bagaimana hendak kurus. Kepada pembaca-pembaca yang mempunyai tahap metabolisma yang tinggi di mana badan sentiasa membakar lemak walaupun semasa anda sedang tidur, syabas diucapkan. Anda memang dianugerahkan sedikit kelebihan oleh Allah. Kepada bapa-bapa atau ibu-ibu yang menghadapi masalah menurunkan berat badan setelah beberapa tahun berumah tangga, artikel penulis hari ini adalah untuk anda.

Penulis aktif bersukan pada zaman muda remaja dan pernah mempunyai bentuk badan dan berat yang ideal. Setelah berkahwin dan dibelenggu kecederaan lutut yang menyebabkan penulis terpaksa berehat dari bersukan selama setahun, berat badan penulis semakin lama semakin meningkat.

Rakan-rakan yang bukan ahli sukan dahulunya juga mengalami masalah yang sama. Ramai yang mengatakan, ini sindrom “prosperity marriage” atau perkahwinan bahagia yang bermaksud seseorang lelaki itu apabila telah berumahtangga akan menjadi gemuk akibat layanan makan-minum yang baik dari isteri. Janganlah pula ada yang menjadikannya sebagai kayu pengukur – kalau lepas kahwin gemuk, maka isteri layan dengan baik, kalau lepas berkahwin kurus bermakna isteri layan tak berapa baik. Ini hanyalah sentimen masyarakat melayu yang sekadar dijadikan bahan jenaka setelah sekian lama.  

Penulis tidak nampak faktor layanan membawa kesan yang signifikan dalam aspek kenaikan berat badan selepas berkahwin, mungkin ada tetapi tidak terlalu ketara. Penulis yakin keadaan fisio dan gaya hidup seseorang  lebih  mempengaruhi.

Bila umur meningkat, metabolisma badan seseorang akan menurun. Bagi kaum hawa, pertukaran hormon juga boleh membawa kepada ketidakstabilan dalam berat dan bentuk badan. Bila metabolisma badan turun, kadar pembakaran lemak akan berkurangan dan badan akan menyimpan lemak-lemak yang berlebihan. Keadaan ini akan menjadi lebih huru-hara bila individu itu menambah pula jumlah makan yang diambil dalam sehari.

Pengalaman penulis pelbagai. Kerana inginkan berat badan ideal, penulis pernah mendaftar di pusat senaman dan mempunyai jurulatih kecergasan peribadi. Kerana kurang kesabaran, kos yang tinggi dan tidak dapat memenuhi jadual senaman dengan konsisten, penulis tidak memperolehi keputusan yang diinginkan. Duit habis begitu sahaja. Penulis juga pernah mencuba ‘pil kurus’ berasaskan herba yang dibeli di klinik doktor. Memang cepat kurus, tapi masalahnya, selepas seketika penulis tidak mengamalkan pengambilan pil tersebut, berat badan penulis akan kembali meningkat malah lebih dari sebelumnya. Dan pil ini boleh tahan juga harganya, sebotol RM150 untuk bekalan sebulan.

Kesimpulan yang boleh diambil iktibar, adalah seperti berikut*:

a) Tiada jalan singkat – tiada pil diet, jus atau ubat-ubatan yang boleh membuatkan kita kurus dalam ertikata sebenarnya. Mungkin ubat-ubatan ini boleh memberikan kesan sementara dan kebanyakkan ubat-ubatan ini tidak mengurangkan kandungan lemak dalam badan tetapi membuang kandungan air dalam badan yang bersifat sementara. Bersenam tetap jalan terbaik.

2. Tetapkan sasaran yang boleh dicapai – Adalah anda ingin kurangkan 5 kilogram berat badan anda? Bagus. Nak pakai seluar 2 tahun lepas untuk hari raya? Cantik. Nak kurangkan 25 kilo sebelum hari perkerja? Jangan mimpi. Bila anda tetapkan sasaran, biarlah bersesuaian dan janganlah terburu-buru melakukannya. Beri masa. Cuba lakukannya untuk kekal sihat dan bukannya untuk kurus – InsyaAllah motivasi anda tidak akan terjejas.

3. Jangan berlapar tanpa perancangan – Jika anda bercadang untuk berlapar selama beberapa hari, atau minggu, fikirkanlah semula. Puasa yang disyariatkan selama sebulan di bulan ramadan telah disahkan oleh pengamal perubatan mempunyai kebaikan dari segi kesihatan. Berlapar pula diistilahkan sebagai memotong waktu makan. Secara lumrahnya, manusia perlu makan sekurang-kurangnya 3 kali sehari. Ada yang tidak mengambil sarapan atau makan malam kerana ingin kurus. Badan memerlukan kalori untuk berfungsi secara normal. Sekiranya anda mengabaikan waktu makan anda, terutamanya sarapan pagi, metabolisma badan anda akan terganggu. Sebaliknya cuba makan dalam kuantiti yang lebih kecil iaitu diantara 200 atau 300 kalori sekali makan. Cara ini akan mengelakkan anda dari merasa  lapar di mana kadar metabolisma anda boleh di kekalkan disamping anda mampu untuk menghadkan pengambilan kalori di bawah 2000 sehari semalam.

4. Tulis – Renyah sikit tapi bagus sekiranya anda dapat merekod jumlah kalori yang anda ambil dalam sehari. Dengan cara ini, anda boleh mengenalpasti trend pemakanan anda. Pengambilan makanan pada hakikatnya berbeza bagi setiap orang tetapi secara purata, seorang dewasa tidak memerlukan pengambilan kalori lebih dari 2000 sehari. Dengan adanya rekod tersebut, anda boleh membuat pemantauan.

5. Berpeluh itu baik – fomula  “kalori masuk < kalori keluar” nampak mudah tapi sebenarnya berkesan. Sekirannya anda membakar kalori lebih banyak dari yang anda ambil, nescaya kuranglah berat badan anda. Jangan beralasan lagi. Setiap orang pasti dapat memperuntukkan 30 minit sehari untuk bersenam. Boleh dilakukan hatta di rumah sekalipun. Jangan berhenti selagi badan anda tidak dibasahi peluh. Berpeluh adalah insyarat bahawa anda telah melakukan senaman yang baik. Pelbagaikan jenis senaman untuk mengelakkan rasa bosan. Isnin – berbasikal; Selasa – treadmill; Rabu – angkat berat dan sebagainya. Bila anda sudah serasi, anda akan merasa ketagih dan mahu melakukannya setiap hari. Sudahnya pasti anda akan dapat mengurangkan beberapa kilo seperti yang anda inginkan.  

Seperti yang telah diwar-warkan, tiada jalan singkat untuk kurus. Anda perlu pecahkan halangan minda. Amalkan cara hidup sihat.

Di bawah dilampirkan beberapa tip-tip kesihatan untuk diamalkan:

1. Jaga saiz hidangan. Kalau boleh jangan ulang makan atau tambah setelah selesai hidangan yang pertama. 
2. Gantikan air berkarbonat, jus-jus bergula dengan air putih.
3. Tidur sekurang-kurangnya lapan jam sehari.
4. Banyakkan makan buah-buahan segar, sayur-sayuran, kekacang dan bijirin.
5. Jauhi makanan segera, kurangkan pengambilan gula dan kurangkan makan di luar.
6. Bawa makanan dari rumah untuk makan tengahari.

Marilah kita sama-sama mengamalkan cara hidup sihat. Semoga berjaya, InsyaAllah.

-mozaman75-

*sumber – DietsInReview.com


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: