Posted by: mozaman75 | 26 Februari 2010

RASULULLAH SUAMI MITHALI

Sempena sambutan Maulidur Rasul atau Ulang Tahun Kelahiran Nabi Muhammad SAW bagi tahun 1431H ini, amat molek sekiranya kita sama-sama dapat merenung dan mempelajari beberapa sudut daripada kehidupan Pemimpin Agung kita itu. 

Biarpun Rasulullah SAW seorang pemimpin Negara, pemimpin agama dan panglima tentera, Baginda tidak pernah gagal daripada memenangi hati isteri-isteri dan terdapat pelbagai riwayat tentang betapa penyantunnya Rasulullah terhadap para isteri Baginda.

Di dalam sebuah hadis, seorang sahabat bertanya kepada isteri Baginda, Aisyah (ra) tentang apakah yang dilakukan oleh Rasulullah ketika Baginda berada di rumah. Lalu Aisyah menjawab, “Baginda (Rasulullah) hanyalah manusia seperti manusia-manusia yang lain. Baginda membersihkan pakaiannya, memerah susu kambing (untuk kegunaan keluarga) dan menguruskan dirinya” (riwayat al Bukhari).

Majlis Walimah

Rumahtangga bahagia impian semua

Dalam riwayat-riwayat lain, Baginda diriwayatkan menjahit sendiri pakaiannya dan menyediakan makanan kepada ahli keluarganya. Baginda berusaha sedaya upaya untuk tidak menyusahkan isteri-isteri Baginda walaupun mereka lebih daripada sanggup untuk berkhidmat sepenuh hati kepada suami mereka yang tercinta.

Sebagai suami, Baginda menampilkan sifat yang penuh kasih sayang dan sangat lunak terhadap ahli keluarga Baginda. Baginda tidak pernah menggunakan kekerasan kepada isteri dan ahli keluarga baginda.

Isteri Baginda, Aisyah (ra) menceritakan, “Baginda tidak pernah memukul sesiapa kecuali ketika dalam peperangan. Baginda langsung tidak pernah memukul khadam (pembantu-pembantunya) dan juga isteri dan puteri-puterinya” (riwayat Ibn Majah). Istilah “menampar isteri” langsung tiada dalam kamus rumahtangga Rasulullah.

Rasulullah adalah suami yang sangat adil dalam mencurahkan kasih sayangnya kepada para isterinya. Biarpun Baginda memiliki beberapa orang isteri, setiap daripada isteri Baginda menganggap bahawa dialah yang paling dikasihi oleh Baginda. Hal ini adalah disebabkan Baginda memberikan kasih sayang dan perhatian yang saksama terhadap para isterinya sehingga setiap di kalangan mereka berasa merekalah yang paling dikasihi.

Begitupun, Baginda dengan penuh kerendahan hati seringkali berdoa, “Ya Allah, aku berkemungkinan melebihkan kasih sayangku terhadap mana-mana isteriku dan terkurang pada yang lain. Ini adalah ketidakadilan. Ya Allah, dengan rahmatMu ampunlah aku, kerana sememangnya aku tidak mampu” (riwayat al Tirmidhi).

Begitulah sifat Rasulullah yang bersungguh-sungguh memberikan keadilan kepada para isterinya, walaupun hakikatnya manusia hampir mustahil untuk membahagikan kasih sayang secara saksama.

Rasulullah sentiasa menggembirakan hati para isterinya apabila mereka bersedih. Dalam satu kisah di mana salah seorang daripada isteri Baginda, Safiyyah (ra) mengadu bahawa beliau dianggap tidak cantik dan rendah oleh wanita-wanita Arab ketika itu. Baginda tersenyum lalu bersabda, “Sekiranya mereka mengulangi umpatan yang sama, beritahulah kepada mereka, Bapaku Nabi Harun (as), bapa saudaraku Nabi Musa (as) dan suamiku Nabi Muhammad (SAW), apakah kelebihan kalian ke atas diriku yang boleh dibanggakan?”. Safiyyah begitu gembira mendengar nasihat Rasulullah dan segala kesedihannya hilang serta-merta.

Kesimpulan yang dapat dipetik adalah bagaimana Rasulullah begitu mementingkan hubungan akrab suami isteri dalam membentuk rumahtangga yang bahagia. Kepada para suami, tauladanilah sifat Rasulullah, suami terbaik di dunia. Dan kepada para isteri, sekiranya mempunyai suami yang penyayang, janganlah diambil kesempatan ke atasnya pula. Dan yang terakhir sekali, kepada jiran-jiran tetangga, jangan lekas menuduh suami yang rajin memasak atau mengemas rumah kerana takutkan isteri (yang queen control). Sepatutnya perkara-perkara baik seperti itu patut dipuji dan diberikan dorongan yang sepatutnya.

Wallahualam.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: