Posted by: mozaman75 | 3 September 2010

Isu orang bukan Islam masuk surau atau masjid – suatu pemerhatian

Assalamualaikum kepada semua pengunjung Secangkir Madu.

Penulis berasa terpanggil untuk menyuarakan sedikit pendapat peribadi berkenaan dengan isu dua orang ahli parlimen bukan Islam, yang masing-masing dituduh melanggar kesucian Islam kerana memasuki surau dan masjid untuk menyampaikan sumbangan kepada ahli khariah dan menyampaikan sepatah dua kata di dalam kawasan ibadat Islam itu.

Secara ikhlas, penulis merasakan isu ini tidak ditangani dengan hikmah dan kebijaksanaan. Isu ini yang pada asasnya boleh diselesaikan secara diplomasi dan tertutup, telah disensasikan dengan sebegitu rupa sehingga menyebabkan keadaan semasa menjadi agak kucar-kacir.

Kita perlu lihat isu ini dari konteks agama yang sebenar, bukan dari kaca mata politik atau perkauman. Islam itu mudah dan tidak keterlaluan sekiranya penulis beranggapan bahawa masyarakat bukan Islam kini semakin meminggirkan diri dari agama yang suci ini kerana ianya telah dicap mohorkan sebagai susah oleh orang Islam itu sendiri. Sejarah telah membuktikan bahawa keruntuhan tamadun Islam adalah berpunca dari tangan-tangan orang Islam itu sendiri.

Penulis bersimpati dengan Majlis Agama Islam Selangor dan Wilayah kerana tidak semena-mena kena turun padang untuk menyapu kotoran-kotoran yang ditinggalkan dijalanan akibat tercetusnya insiden ini. Penulis yakin pegawai-pegawai ini, jika diberi pilihan, ada urusan lain yang lebih penting untuk diselesaikan seperti isu buang anak, anak luar nikah, kes penceraian yang semakin kritikal, buta Al Quran, ajaran sesat dan sebagainya.

Penulis bersimpati dengan pengurusan Masjid Wilayah, Masjid Negara, Masjid Putrajaya dan beberapa masjid mesra pelancong yang lain kerana perlu merombak dasar membenarkan pelancong-pelancong bukan Islam melawat masjid. Baju-baju jubah yang dipinjamkan kepada pelancong-pelancong sebagai menghormati dasar menutup aurat di dalam kawasan masjid sudah boleh disimpan di dalam stor (tidak boleh dibuang, membazir). Pening pemandu bas pelancong nak beri alasan kenapa puak-puak nie tidak boleh melawat Masjid. Silap cakap, balik ke negara asal, disensasikan pula isu Islam itu jumud atau terkebelakang. Tak pasal-pasal.

Penulis bersimpati dengan beberapa orang berpengaruh yang telah mengeluarkan kenyataan yang sekaligus memberi peluang dan membolehkan rakyat menilai tahap ilmu dan keikhlasan mereka selama ini.

Penulis bersimpati dengan beberapa orang berpengaruh yang telah disajikan dengan maklumat yang tidak tepat dan menerima pakai nasihat yang telah menjerat leher mereka sendiri.

Imej Islam secara keseluruhannya lebih tercalar disebabkan isu ini tidak ditangani dengan hikmah dan bijaksana. Umpama berdakwah dengan bukan Islam dan mengatakan bahawa berkhatan adalah persyarat utama untuk masuk Islam.

Tidak semua kebajikan itu mempunyai agenda belakang takbir. Ada yang melakukan kebajikan (tanpa mengira fahaman dan latarbelakang agama) dengan ikhlas dan untuk mendapatkan ketenangan hati.

Penulis juga bersimpati dengan rakyat Malaysia amnya kerana sering disajikan dengan isu-isu sensasi seperti ini.

Minaret Masjid Nabawi

Penulis ingin kongsikan beberapa perkara untuk sama-sama kita renung-renungkan:

1)  Nabi SAW pernah beberapa kali menjemput orang bukan Islam untuk masuk ke dalam masjid Nabi untuk berbincang.

2) Nabi SAW pernah beberapa kali menggunakkan masjid sebagai platform untuk berdakwah kepada orang bukan Islam.

3) Solat sunat tahei’yatul masjid tidak dikhususkan untuk surau, musolla atau bilik sembahyang.

4) Kaum hawa dalam hadas ditegah memasuki Masjid kerana dikuatiri tiris kotoran hadas tersebut.  Kaum adam?

5) Masjid adalah pusat ilmu dan penyebaran dakwah Islam. Adakah kerja dakwah di Masjid hanya membabitkan orang Islam sahaja?

6) Surau adalah terminologi yang digunapakai di Malaysia. Di negara lain surau umpama bilik sembahyang yang mana ianya dibuka kepada semua lapisan agama selagi mematuhi syarat kebersihan yang ditetapkan.

7) Orang yang nak peluk Islam kini terpaksa mengucap sahadah di luar kawasan Masjid, kerana sebelum mengucap, mereka dikira berhadas besar? Pening bakal-bakal mualaf.

Hidup kita hanya sementara dan akhirat itu kekal abadi. Kenapa tidak dibuang sahaja yang keruh dan ambil yang jernih?  Hentikan perpecahan, galakkan perpaduan. Kestabilan dapat, pahala pun dapat. Fikir-fikirkanlah wahai sahabat-sahabat seagamaku.

Selamat memburu lailatul qadar.

– mozaman75 –


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: