Posted by: mozaman75 | 21 Disember 2010

SETELAH DAPAT BONUS…

Syukur kepada Allah Taala, ramai yang telah mula menerima bonus masing-masing untuk tahun kewangan Januari – Disember 2010, dikreditkan sekaligus dalam gaji untuk bulan Disember ini. Ada juga yang bakal menerima bonus mereka pada bulan Januari tahun hadapan dan selewat-lewatnya dibayar pada bulan March 2011. Hakikatnya, ada yang dapat banyak, ada yang dapat kurang sikit berdasarkan penilaian dan merit yang tertentu. Ada juga yang dapat imbuhan kenaikan gaji dan ada juga yang tidak.  Apapun yang kita perolehi, lafaz yang yang WAJIB kita ucapkan adalah “Alhamdulillah” (segala puji bagi Allah). Bergembiralah selayaknya, dalam skop yang dibenarkan syarak tetapi pada masa yang sama janganlah kita lupakan “hutang” yang perlu kita lunaskan i.e. ZAKAT.

Firman Allah SWT:

“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk)” –  (Surah At-Taubah: 103)

Bahkan zakat disebut sebanyak 30 kali di dalam al Quran dan 27 kali daripadanya dikaitkan dengan kewajipan bersembahyang yang menjadi tiang agama. Jelas persoalan zakat bukanlah persoalan remeh, sebaliknya ia adalah tuntutan pokok dalam agama. Ia adalah perkara rukun dalam Islam. Persoalan zakat tidak boleh dipandang ringan.

Hakikat harta dan kekayaan yang kita miliki dijelaskan melalui firman Allah Ta’ala:

“Dan pada harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian” (Adz-Dzariyat: 19)

Daripada ayat tersebut, hakikatnya kita hanyalah ‘safekeeper’ kepada harta yang dianugerahkan oleh Allah. Berzakat adalah salah satu mekanisma untuk mengagihkannya kepada golongan yang berhak untuk menerimanya.

Walaupun daripada sudut pengiraan matematik harta kita akan berkurang apabila dizakatkan, Baginda SAW bersumpah dengan perkara yang sebaliknya.

Sabda Baginda SAW:

“Tiga perkara yang aku bersumpah atas tiga perkara tersebut dan menceritakan kepada kalian maka awasilah: Tidak akan berkurang harta yang disedekahkan (termasuk zakat) dan tidak seorang hamba dianiaya dengan satu kezaliman kemudian dia bersabar (atas kezaliman) tersebut kecuali Allah akan menambahkan baginya dengan kemuliaan. Dan tidaklah seorang hamba membuka pintu meminta-minta (sengaja meminta-minta) kecuali Allah akan membaginya pintu kefakiran.” (riwayat Turmudzi)

Secara kesimpulannya, antara “kekayaan” apabila kita berzakat sebagaimana yang disebutkan di dalam Al Quran dan Hadis Baginda SAW adalah:

  1. Dibersihkan harta kita daripada sebarang kekotoran;
  2. Dibersihkan jiwa orang yang berzakat daripada sifat mazmumah/tercela;
  3. Menyuburkan harta yang dimiliki. Makin berzakat makin kaya;
  4. Mengimbangi jurang ekonomi antara kaya dan miskin agar masyarakat hidup dalam keadaan sejahtera dan harmoni;

Sebahagian kita memberikan alasan tidak tahu bagaimana untuk mengira Zakat yang wajib kita keluarkan. Sebahagian pula mengatakan bahawa tidak ada masa untuk keluarkan zakat kerana terlalu sibuk dengan komitmen harian. Sebenarnya pada zaman yang serba canggih ini, alasan-alasan seperti ini tidak boleh diterima pakai kerana pihak institusi pungutan zakat menyediakan khidmat talian info dan laman web serta pelbagai kemudahan pembayaran yang sangat fleksibel.

Mungkin ada yang tidak perasan bahawa zakat pendapatan kini boleh ditolak secara terus dari cukai pendapatan. Sebagai contoh, anda membayar lebih kurang RM10,000 setahun dalam bentuk cukai pendapatan. Anda juga membayar zakat pendapatan sebanyak RM1200 setahun kepada baitulmal negeri. RM1200 tersebut boleh ditolak secara terus dari cukai pendapatan berbayar anda dan anda kini perlu membayar cukai sebanyak RM8800 sahaja. Dengan ini anda telah menepati kedua-dua syarat – syarat akhirat dan syarat dunia sekaligus.

Barangkali dua Hadis di bawah boleh membantu  merawat penyakit BERDALIH UNTUK BERZAKAT:

“Barang siapa yang Allah telah berikan harta kepadanya kemudian dia tidak menunaikan zakatnya, maka pada hari Kiamat nanti hartanya akan menjadi ULAR yang botak yang mempunyai dua titik hitam diatas kepalanya yang mengalunginya kemudian mengambil dengan kedua sisi mulutnya sambil berkata: “Aku adalah simpananmu, aku adalah hartamu” (riwayat al Bukhari)

“Tidaklah seseorang yang memiliki emas atau perak kemudian tidak ditunaikan haknya, apabila datang hari kiamat dibentangkan baginya batu-batu yang lebar dari neraka kemudian dia akan dipanggang di atas batu-batu itu di dalam neraka jahannam kemudian disetrika perut, dahi dan punggungnya. Setiap kali sudah dingin maka akan dikembalikan seperti semula yang satu hari adalah sama dengan 50000 tahun sampai diputuskan perkaranya diantara manusia maka dia akan melihat jalannya, apakah ke surga atau neraka.” (riwayat Muslim)

Kepada anda yang tidak diwajibkan berzakat yakni pendapatan anda dibawah paras nisab yang ditentukan oleh negeri masing-masing, anda masih boleh beribadat dengan bersedekah sekadar yang termampu. Sedekah selalu disalahertikan oleh sebahagian dari kita. Kita sering beranggapan bahawa sedekah itu hanyalah pemberian tunai walhal sedekah itu mencakupi pelbagai aspek kehidupan. Sebagai contoh, sekiranya kita berhajat untuk masak makan tengahari dihujung minggu, masaklah lebih sedikit untuk diagihkan kepada jiran. Tidak mampu sebuku roti, kita sedekah sekeping roti. Senyuman juga merupakan sedekah atau tenaga/kudrat yang kita gunakan ke jalan Allah juga sedekah seperti gotong royong membersihkan surau atau Masjid dan lain-lain lagi. Zakat atau sedekah yang dilakukan hanya untuk mendapatkan keredaan Allah swt akan memastikan hidup kita berada dalam perlindungan dan rahmat Allah swt.

-mozaman75-


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: