Posted by: mozaman75 | 13 Januari 2014

Generasi Muda Jangan Buat Kesilapan Kewangan

Assalamualaikum wr wb dan salam hormat diucapkan kepada semua pembaca Secangkir Madu yang budiman. Sudah agak lama penulis tidak berkongsi di ruangan ini. Harapan penulis masih ada yang setia membaca. Penulis juga mengharap masih belum terlambat untuk penulis mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua pembaca Secangkir Madu yang berada di Malaysia khasnya dan di seluruh dunia amnya.

Tahun baru azam baru, eloklah penulis memulakan bingkisan terawal untuk 2014 ini dengan berkongsi pendapat tentang perancangan kewangan khusus bagi generasi muda. Penulis tergolong dari kalangan generasi X (Gen X)  yang telah mengharungi dunia pekerjaan lebih dari 10 tahun dan telah melalui pelbagai masalah dan cabaran kewangan peribadi. Generasi Y (Gen Y) yang penulis golongkan sebagai golongan muda, lahir bermula awal tahun 1980an hingga awal tahun 2000. Sebahagian  dari Gen Y ini telah memasuki alam pekerjaan dan sebahagian besar juga telah memasuki alam perkahwinan.

Penulis ingin berkongsi pandangan berkaitan perancangan kewangan khusus bagi kumpulan Gen Y kerana fasa yang kumpulan ini sedang lalui adalah fasa penting yang bakal menentukan kesinambungan dan keselesaan hidup mereka untuk 10 tahun yang akan datang. Ini juga bermakna, kesilapan awal yang telah dilakukan oleh Gen Y dari sudut perancangan kewangan sekiranya ada, masih berpotensi untuk dicari jalan keluarnya.

Harus di fahami dahulu ciri-ciri Gen Y dari pelbagai sudut yang boleh penulis simpulkan melalui kajian yang telah dijalankan oleh firma Ernst & Young:

# Gen Y adalah dari kalangan yang celik dan minat IT dan berupaya untuk memaksimakan penggunaan media atau laman sosial untuk meraih peluang atau perhatian. Boleh juga dikatakan Gen Y ini rata-ratanya kuat bekerja.

Bila Gen Y terbabit dengan media sosial secara langsung, kumpulan ini akan mula membuat perbandingan diri mereka dengan rakan sebaya yang lain. FaceBook, Instagram, Google Plus dan lain-lain media sosial tidak banyak membantu. Melalui laman-laman inilah perbandingan taraf dan keperluan hidup dilakukan oleh Gen Y. Maka di sinilah wujudnya elemen “peer pressure” atau tekanan rakan sebaya dari sudut pakaian, kesihatan, kecantikan dan alat-alat sokongan dan telekomunikasi seperti komputer riba mahupun telefon bimbit dan sebagainya.

Gen Y juga boleh menjurus kepada:

1) Cara berpakaian (termasuk aksesori) mengikut aliran semasa yang menyebabkan kos pengurusan almari menjadi tinggi. Harga tudung wanita bercitarasa terkini juga boleh mencecah hampir ribuan ringgit untuk sehelai.

2) Memiliki telefon atau alat berteknologi tercanggih di pasaran, bertukar-tukar model terkini walaupun peralatan masih baru sehingga menyebabkan kerugian modal.

3) Trend berkunjung ke gimnasium atau pusat kesihatan yang mempunyai yuran bulanan yang membebankan. Lebih malang lagi apabila yuran bulan dibayar tetapi kelibat jarang kelihatan di gim atau pusat kesihatan tersebut.

4) Memiliki kenderaan yang kebarangkalian untuk diubahsuai begitu tinggi yang memerlukan modal yang agak besar.

Kereta yang diubahsuai dan memerlukan modal yang besar

Kereta yang diubahsuai dan memerlukan modal yang besar

Apa yang Gen Y perlu amati dan fikirkan dalam usaha untuk merancang kewangan yang betul dan dari peringkat awal adalah seperti berikut:

1) Sekiranya anda memasuki alam pekerjaan dengan membawa hutang pembiayaan pelajaran tak kiralah sama ada anda telah mengambil pembiayaan PTPTN atau dari Yayasan Negeri atau dari ibubapa/keluarga, keluarkan terus jumlah ansuran pembiayaan dari gaji bulanan awal anda sebelum anda menggunakkannya untuk perkara-perkara lain. Jangan lewat-lewatkan pembayaran kerana kebanyakkan pembiayaan pelajaran adalah menggunakan konsep baki berkurang (reducing balance). Lagipun tak berapa molek melewat-lewatkan pembayaran kerana bayaran balik yang kita lakukan memungkinkan pelajar yang kurang berkemampuan lain mendapatkan pembiayaan. Kepada Gen Y yang masih menuntut, belajarlah dengan baik agar anda memperolehi keputusan yang baik dan pembiayaan anda layak untuk ditukarkan kepada biasiswa (pengecualian untuk pembiayaan bank).

2) Gaji pertama, huh! jenuh! Selalunya gaji pertama akan digunakan untuk belanja satu kampung tanda kesyukuran kerana telah berjaya mendapat kerja. Boleh tangguh dulu niat tersebut bukan kerana kedekut tetapi keperluan mengumpul wang itu lebih utama. Lebih molek jikalau gaji pertama diberikan sedikit kepada kedua ibubapa. Insya Allah ada keberkatannya. Bolehlah belanja kawan-kawan setelah mendapat surat pengesahan kerja (confirmation letter) bukannya setelah mendapat gaji pertama.

3) Gen Y yang belum stabil di alam perkerjaan jangan sekali-kali menjerumuskan diri di dalam kancah “biar papa asal bergaya”. Gaji RM2300 bayar kereta RM800, modified lagi, rim besar tayar besar dan sebagainya. Pakaian. Yang kerja pejabat memang seharusnya berpakai kemas dan professional tapi semua ini boleh dibeli di jualan-jualan murah yang di adakan saban bulan di Malaysia kebelakangan ini. Tak perlu tempah baju cuffflink yang mahal semata-mata untuk bergaya ke pejabat. Cukuplah sekadar berpakaian kemas dan teratur yang boleh diperolehi dengan agak murah dan senonoh di pasaran.

4) Penggunaan kad kredit, umpama parasit yang menyerang pokok tunjang. Ini adalah penyakit bawaan yahudi.  Kalau boleh jangan biasakan atau jangan mula pakai. Kalau terpaksa pakai pun atas apa jua sebab, gunakan kad kredit Islamic yang boleh diperolehi dari bank-bank Islam. Kad kredit Islamic tidak mempunyai riba atau interest berganda (compounding interest) dan dilindungi takaful (insurans Islam) secara automatik untuk baki semasa kad kredit anda. Pastikan pembelian yang anda lakukan menggunakan kad kredit ini di sokong oleh tunai yang anda ada atau yang anda mampu adakan dalam tempoh terdekat agar bayaran penuh bulanan dapat dilangsaikan. Sekiranya anda hanya melakukan bayaran minima setiap bulan, anda tertakluk kepada kadar keuntungan yang perlu dibayar kepada pihak bank dalam lingkungan maksima 18% setahun. Kadar ini amat tinggi dan membebankan. Kepada yang telah terbeban dengan hutang kad kredit, nasihat penulis – potong kad kredit tersebut dan cuba bayar semampu mungkin setiap bulan tanpa ada ruang untuk menambah hutang.

5) Mencari pasangan – sebahagian Gen Y baru melalui zaman perkahwinan dan tak kurang juga yang sedang dalam proses mencari calon suami atau isteri. Dalam fasa ini anda cuba mengenali antara satu sama lain, cuba pastikan pasangan anda mempunya mentaliti kewangan yang akan mengimbangi mentaliti kewangan anda. Kalau kedua-dua telah menunjukkan mentaliti kewangan berhemah, inilah yang terbaik. Tapi keadaan ini amat jarang berlaku. Jadi sekiranya anda rasa anda seorang yang pemboros, cuba cari pasangan yang berhemah. Tapi janganlah pula sekiranya anda berhemah, anda mahu mencari pasangan yang boros pula. Yang paling penting jangan sampai anda dan pasangan ke dua-duanya boros. Hancur rumahtangga nanti jikalau dibebani masalah kewangan.

6) Tunang dan berkahwin – seperti yang saya nyatakan di atas, Gen Y sangat perihatin dengan trend, style dan kepedulian terhadap apa orang lain kata. Kerana itu begitu banyak majlis pertunangan dan perkahwinan yang kita hadiri kebelakangan ini dianjurkan dengan begitu mewah sekali dengan persalinan yang pelbagai, pelamin yang begitu indah, makanan yang banyak, cenderamata yang mahal, kos video dan photografi professional yang tinggi dan sebagainya. Sebahagian melaluinya dengan alasan kahwin hanya sekali (especially kaum hawa) dan tak kurang juga yang berkata “nanti apa orang kata”. Semuanya mengundang penyakit. Pasangan baru nak mendirikan rumah tangga, sudahpun dibebani dengan hutang kad kredit dan pembiayaan peribadi. Bila dah beranak pinak, hutang masih belum selesai. Adakah pada masa itu orang lain akan datang membantu melangsaikan hutang anda, mungkin tidak. Jadi tak perlu pikirkan sangat apa orang lain. Anjurlah majlis pertunangan atau perkahwinan mengikut kemampuan anda sendiri.

Pasangan muda harus bijak merancang majlis pertunangan atau perkahwinan selaras dengan kemampuan mereka

Pasangan muda harus bijak merancang majlis pertunangan atau perkahwinan selaras dengan kemampuan mereka

7) Rumah sewa atau rumah beli, adoi peninglah!! – kepada pasangan Gen Y yang baru berkahwin, sekirannya anda masih mempunyai ibubapa yang mempunyai rumah sendiri yang selesa, tinggallah bersama mereka untuk beberapa waktu sehingga anda dan pasangan boleh berdikari. Lainlah sekiranya ibubapa anda jauh di kampung dan anda serta pasangan di bandar atau rumah sempit atau tidak selesa maka tiada cara lain melainkan menyewa dan pastikan peruntukan duit sewa sebaik-baiknya tidak melebihi 30% dari gaji bulanan anda. Sekiranya anda mempunyai lebihan wang bolehlah mengintai-gintai peluang untuk membeli rumah sendiri. Amat bertuah kalau anda dapat membeli rumah yang anda mampu miliki di usia muda kerana anda meminimakan kerugian akibat spekulasi harga dan inflasi. Bila beli di waktu muda, jangkamasa pembiayaan akan menjadi lebih panjang dan selesa.

8) Pelaburan (telus Syariah) dan caruman Takaful sebaiknya dimulakan dari awal kerana lebih lewat anda melabur atau mencarum, lebih tinggi komitmen bulanannya. Sila rujuk pakar pelaburan dan Takaful untuk penerangan yang lebih terperinci.

9) Melancong…generasi muda sekarang memang gemar melancong. Samaada bersendirian, mahupun bersama kawan-kawan atau keluarga. Dengan kadar tiket kapal terbang dan hotel yang kian kompetitif, ramai yang “mampu” untuk pergi bercuti samaada di dalam mahupun di luar negara. Pada pendapat penulis, semurah mana harga tiket mahupun tempat tinggal, perancangan percutian yang perlu bermalam seharusnya diteruskan sekiranya anda mempunyai duit lebihan. Tiket, petrol, sewa kereta, sewa bilik, makanan, tiket masuk pusat rekreasi dan sebagainya bila dicampurkan boleh menjadi satu beban. Bagaimana murah anda ingat satu-satu pakej percutian tersebut, ianya bukan merupakan satu keperluan tetapi lebih menjurus kepada satu keinginan (needs vs wants). Jangan sampai anda perlu berhutang untuk pergi melancong.

Perkongsian ini adalah sebagai satu cadangan untuk Gen Y mengubah atau merombak pendirian dan cara pengurusan kewangan dalam usaha untuk meminimakan beban hutang atau masalah yang mungkin terpaksa ditanggung di kemudian hari akibat kesilapan dalam berbelanja pada masa sekarang. Skop berkaitan pengurusan kewangan itu sendiri sebenarnya luas dan apa yang dinukilkan hanya sebahagian sahaja hasil dari pemahaman, pemerhatian dan pengalaman penulis sendiri. Moga-moga bermanfaat. Wallahua’lam.

– mozaman75-


Responses

  1. Saya adalah gen Y.
    Apa yang saya lihat adalah gen Y perlu disiplin dan tahan nafsu dalam kewangan.
    Jika dilihat dari segi konteks universiti memandangkan saya masih bergelar mahasiswa,
    Duit dibelanja sesuka hati tanpa sebarang perancangan.
    Ilmu kewangan tidak didedahkan langsung melainkan sendiri yang mencari.

    Dan saya akui sememangnya gen Y mudah tergoda untuk beli barang-barang yang bukan keperluan.
    Hanya kehendak = liabiliti.

    Alhamdulillah, ketika umur 21 tahun, saya sedar tentang pentingnya ilmu kewangan setelah membaca buku-buku berkaitan kewangan.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: