Posted by: mozaman75 | 1 Julai 2016

Malam Lailatul Qadar, malam istimewa untuk seluruh umat

Lailatul Qadar atau Malam al-Qadar telah diketahui umum sebagai malam yang amat istimewa buat seluruh umat Islam. Ia berdasarkan ayat al-Quran dari surah al-Qadr.

Firman Allah SWT : “Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan” (Al-Qadr :2) 
Di malam ini jugalah Nabi SAW bersungguh-sungguh beribadat melebihi malam-malam Ramadan yang lain. Disebutkan di dalam sebuah hadis :-

“Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain” ( Riwayat Muslim, no 1175 )

Hadis ada menyebut :-

a) “Adalah Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya (malam-malam Ramadan)” ( Riwayat al-Bukhari & Muslim)

b) “Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)” ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


*Gambar fenomena Arora di Iceland (sekadar hiasan)

WAKTUNYA

Para ulama antaranya Syeikh Dr Yusof Al-Qardawi menyebut bahawa tarikh malam lailatul qadar sengaja disembunyikan oleh Allah SWT agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh mencarinya, bagaimanapun ada disebutkan terdapat tanda-tanda akan kemunculan malam yang terhebat ini. Sebagai contoh hari esoknya yang tidak terlampau panas dan tidak pula terlampau sejuk, matahari pula tidak memancarkan sinaran habanya dan pelbagai lagi. Ia semuanya berasal dari hadis-hadis yang sahih.

Bagaimanapun tanda-tanda ini tidaklah begitu penting bagi individu yang benar-benar telah beribadat sepanjang malam. Ia juga tidak banyak memberikan manfaat kerana malam tersebut sudah terlepas sekiranya tanda itu dikenalpasti esoknya.

Malah, tanda ini juga adalah amat sukar menjadi tepat kerana suasana dan cuaca sesebuah negara adalah berlainan. Di negara barat contohnya mungkin sentiasa mendung kerana berada dalam musim sejuk atau musim bunga manakala di Afrika pula mungkin sedang mengalami keterikan panas matahari. Adakah malam al-qadar tidak muncul di tempat mereka kerana setiap siang mereka adalah terik?.

Jawabnya, tanda-tanda ini hanyalah contoh yang berlaku di zaman Nabi SAW dan tidak lebih dari itu.

Menurut pandangan yang paling kuat di kalangan para ulama, ianya berlaku pada salah satu malam di antara sepuluh malam yang terakhir, iaitu pada malam-malam ganjil.

Hadis Nabi menyebut:-

“Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadan” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagaimanapun, kita sekali lagi mungkin kebingungan pada tahun-tahun tertentu jika negara Arab memulakan puasa pada tarikh yang berbeza dengan negara-negara di nusantara. Justeru, pada malam ganjil menurut kiraan Malaysia atau Brunei atau Thailand, Indonesia atau Saudi yang akan terpakai?. Hal ini sukar diputuskan oleh para ulama. Akhirnya, mereka menyarankan agar dihidupkan seluruh malam sahaja. Jawapan termudah tetapi tidak memuaskan hati tentunya.

Wallahu alam.


TARIKH BERUBAH ATAU TETAP?

Sebahagian ulama mengatakannya bersifat tetap pada setiap tahun iaitu pada malam 27 Ramadan, manakala majoriti ulama termasuk Imam An-Nawawi As-Syafie pula berpendapat ianya bertukar-tukar pada setiap tahun dan tidak kekal pada satu tarikh (Al-Majmu’ 6/450).

Selain dari itu, berdasarkan dalil hadis al-Bukhari, berkemungkinan besar ianya jatuh pada tiga malam ganjil terakhir iaitu samada 25, 27 atau 29 Ramadan berdasarkan sabda Nabi SAW:-

“Aku lihat mimpi kamu (sahabat) telah menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam terakhir” ( Riwayat al-Bukhari , no 1911 & Muslim)

Dari tiga tarikh harapan itu, tarikh 27 Ramadan adalah yang paling diharapkan oleh kebanyakan umat Islam (terutamanya di negara Arab) dan ia juga dipegang oleh kebanyakan sahabat Nabi SAW serta ulama silam, sehinggakan seorang sahabat bernama Ubay Bin Ka’ab ra bersumpah ia adalah malam ke dua puluh tujuh (di zamannya secara khasnya kerana beliau telah melihat tandanya dan yakin tarikh itu tidak berubah pada tahun-tahun berikutnya) dan zaman lain umumnya, sebagaimana dalil hadis yang menyebut:-

“Malam al-Qadar dalah malam ke dua puluh tujuh” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, no 1386 )

DOA TERPENTING DI MALAM AL -QADAR

Di malam-malam akhir Ramadan ini sasaran utama kita adalah mendapatkan keampunan Allah SWT.

Inilah yang disebut dalam jawapan Nabi SAW kepada Aisyah RA :-

“Berkatalah Aisyah , Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa)? Bersabda Nabi : ” Sebutlah doa ” Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun , dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan” (Riwayat Tirmizi)

MESTIKAH DAPAT TANDA?

Sabda Nabi SAW :

“Barangsiapa yang menghidupkan malam qadar ini dan mendapatnya…” (Riwayat Muslim)

Hadis ini menyebabkan setengah ulama mengatakan bahawa setiap individu yang mendapat keberkatan malam al-qadar akan menyedari atau mengetahuinya berdasarkan hadis di atas.

Bagaimanapun, pandangan yang lebih tepat adalah seseorang individu itu mampu mendapat kebaikannya, samada ia mengetahuinya atau tidak mengetahuinya, tanpa menafikan bahawa sesetengah individu diberi rezeki dan kelebihan oleh Allah SWT untuk mengetahuinya melalui pelbagai cara termasuk mimpi, tanda menarik dan mungkin pelik dan sebagainya.

Tidak perlulah untuk solat malam di tepi pokok atau di hadapan baldi air, kerana ingin memastikan waktu pokok sujud atau air menjadi beku. Allah SWT akan memberikan tandanya menurut kehendakNya.

MASA PANJANG ATAU SEKEJAP?

Saya masih ingat, semasa saya berada di zaman kanak-kanak (Ustaz Dr Zaharuddin), tersebar banyak info kepada saya dan rakan-rakan pada ketika itu adalah :

“Waktu makbul dan berkat ini beberapa saat sahaja. Jika terlepas saatnya maka rugilah sepanjang hayat.”

Rupanya, ia hanya rekaan para pereka cipta sahaja yang tidak di ketahui tujuan mereka. Hakikatnya, waktu berkat lagi makbul ini adalah luas sepanjang malam, ia telah disebutkan oleh Allah dengan jelas iaitu :-

سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ

 Ertinya : Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar ( Al-Qadr : 5)

 Inilah yang diterangkan oleh Imam Al-Qurtubi di dalam kitabnya. (Al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 20/134 )

 Semoga kita diberikan kekuatan ibadah dan keikhlasan di waktu malam tersebut.

 Diperbaiki dari sumber asal karangan Ustaz Dr Zaharuddin Abd Rahman.

 


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: