Posted by: mozaman75 | 22 April 2010

Demam Denggi Perlu Rawatan Awal

Nyamuk Pembunuh

Penyebab Demam Denggi

Demam denggi di Malaysia dahulunya merupakan masalah bermusim, tapi kebelakangan ini, boleh dikatakan setiap hari ada sahaja pengidapnya. Deman denggi ini jikalau tidak ditangani dengan cepat dan berkesan boleh membawa maut. Kesimpulannya, deman denggi ini jangan diperlekeh atau dipandang sebelah mata. Dilampirkan di akhir tulisan, beberapa petua untuk menangani denggi.

Mengikut daftar wikipedia, demam denggi merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus Denggi (genus Flavivirus) yang disebar oleh nyamuk Aedes betina. Cara penyebarannya ialah melalui gigitan nyamuk aedes orang yang berpenyakit virus denggi kepada orang yang sihat. Masyarakat barat menamakan denggi dengan panggilan “breakbone fever” kerana pengidap denggi secara keseluruhan akan mengalami sakit-sakit badan dan sendi yang  luar biasa. Nyamuk dari spesis-spesis lain juga membawa pelbagai penyakit seperti malaria, japanese encephalitis, filariasis dan demam kuning.

Demam denggi tidak terjadi serta-merta selepas terkena gigitan nyamuk. Virus denggi akan duduk di dalam badan selama 3 hingga 14 hari (purata 4 hingga 6 hari) sebelum menunjukkan tanda-tanda. Si malang mungkin akan mengalami demam mengejut diikuti dengan berbagai-bagai tanda dan gejala tidak khusus. Mereka yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah akan lebih berisiko terkena demam  denggi.

Ramai penduduk Malaysia yang mempunyai kesedaran pencegahan yang baik. Sebelum terkena, kawasan rumah dijaga dengan baik malah tempat-tempat pembiakan nyamuk semuanya dihapuskan. Ramai juga yang mempunyai kesedaran pemulihan yang baik. Golongan ini, bila terkena demam atau sakit, terus berjumpa Doktor dan mendapatkan rawatan tanpa berlengah. Dan ramai juga yang memandang remeh soal demam dan sakit-sakit badan, membiarkan ianya berlarutan beberapa hari sebelum kesakitan tersebut memaksa mereka ke hospital. Penulis faham – kos perubatan tinggi dan klinik-klinik kerajaan mahupun swasta padat dibanjiri manusia saban hari. Jadi mangsa-mangsayang tidak mempunyai wang atau masa ini terpaksa bergantung harap kepada panadol dan air cap badak, dengan harapan demam tersebut adalah demam biasa. Penulis amat bersimpati dengan golongan ini.

Deman denggi mengikut pakar perubatan barat tiada vaksin atau antibiotik khusus untuknya. Doktor perlu memberikan pelbagai gabungan rawatan untuk melemahkan virus denggi ini. Kadang-kadang rawatan awal tidak mendatangkan hasil yang menberansangkan, maka Doktor akan mencuba pakej rawatan yang lain pula. Atas sebab inilah, denggi hatta H1N1 sekalipun, InsyaAllah dapat ditanggani sekiranya rawatan awal dapat diberikan.

Mengikut statistik terkini Kementerian Kesihatan, kes denggi yang dilaporkan di Malaysia pada sepanjang 15 minggu pertama tahun 2010  adalah sebanyak 14,780 kes dengan 52 kematian. Kementerian Kesihatan mengulas lagi dengan mengatakan terdapat penurunan kes sebanyak 11% (berbanding tahun lalu) tetapi kadar kematian telah meningkat sebanyak 33%. Statistik ini hanya untuk 4 bulan dan bukannya setahun. Penulis telah menyemak data lalu sebagai perbandingan. Mengikut statistik WHO, pada tahun 2005, kes demam denggi yang dilaporkan sepanjang tahun adalah sebanyak 16861 kes dengan 107 kematian. Di manakah silapnya? Penguatkuasaan dan tindakan, pemantauan, kesedaran, sikap individu atau kesemuanya? Marilah kita sama-sama renungkan.

Apa yang perlu dilakukan sekiranya anda atau mereka yang rapat dengan anda terkena demam denggi? Di sini penulis cuba turunkan beberapa cadangan dan petua untuk anda renung-renungkan:-

a) Tawakal dan ikut nasihat Doktor
b) Minum banyak air putih
c) Cuba riadah/senaman ringkas pada waktu pagi
d) Amalkan minum air rebusan ketam

Berikut adalah resipi untuk menyediakan air rebusan ketam:-

1. Ambil 2 atau 3 ekor ketam (bersesuaian mengikut saiz), siang dan potong mengikut kesesuaian.
2. Ambil serai 1 batang dan halia (ikut rasa) dan tumis cepat-cepat menggunakan sedikit minyak yang panas.
3. Masukkan air dan ketam.
4. Apabila sudah masak, sup boleh dihidangkan dan minum berulang kali. Kalau ada selera makan, boleh makan ketam sekali.
5. Jangan membazir – lebihan sup boleh disejukkan dalam peti sejuk untuk digunakan pada hari berikutnya.

Air rebusan ketam ini merupakan petua orang tua-tua dan dikatakan amat mujarap untuk menaikkan paras platelet darah. Walaubagaimanapun, sekirannya anda minum air rebusan ketam ini sebanyak mana pun tanpa rawatan pakar perubatan, anda sememangnya mengundang bencana. Rawatan awal adalah mustahak.

Dalam banyak keadaan, pencegahan lebih baik dari mengubati. Jangan berlengah. Ambil langkah berikut:

– Bersihkan sampah sarap di sekitar rumah, buang ditempat yang sepatutnya.
– Kumpul dan lupuskan dengan sempurna barang-barang yang tidak digunakan atau letakkan di tempat yang terlindung dari hujan.
– Kepada yang masih menggunakan peti sejuk model lama, bersihkan selalu perangkap air di bawah peti sejuk dan masukkan abate.
– Pastikan alas pasu bunga tidak menakung air. Masukkan abate. Sekiranya ada jambangan bunga dalam rumah yang diletakkan dalam pasu yang mempunyai air, masukkan juga abate.
– Bersihkan saluran air hujan (gutters), longkang dan parit yang tersumbat.
– Apa sahaja bekas yang digunakan untuk mengisi air, hatta air minuman juga, perlulah ditutup dengan rapi bagi mengelakkan nyamuk singgah dan bertelur.
– Baiki mangkuk tandas yang rosak. Pam tandas hendaklah ditutup rapi.
– Terlangkupkan pasu-pasu atau bekas-bekas yang tidak digunakan agar tidak dipenuhi air hujan. 

Sebagai penutup kalam, penulis tinggalkan 2 potong hadis untuk renungan kita bersama…InsyaAllah.

Diriwayatkan dalam sepotong hadis Rasulullah S.A.W

Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit, dan menjadikan bagi setiap penyakit itu ubat, kerana itu hendaklah kamu semua berubat, dan jangan berubat dengan benda yang haram.”

Hadis diatas diperkuatkan lagi dengan sepotong hadis berikut:

“Berubatlah, maka sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit kecuali Allah menyedia­kan baginya ubat, kecuali satu penyakit, iaitu tua.”

Semoga kita dilindungi Allah SWT dari penyakit bawaan nyamuk ini.

Wallahu’alam

-mozaman75-


Tinggalkan komen

Kategori