Posted by: mozaman75 | 9 Mei 2022

Kegilaan Orang Kuruskan Badan – Dengan jalan pintas

Macam2 jus, ubat, diet lalu kat socmed penulis. Terpanggil nak tulis. 

Penulis adalah seorang bekas ahli sukan. Last sekali dalam skuad badminton IMTGT mewakili universiti Malaysia ke perlawanan tiga negara di Thailand. Nak cerita, pasal bab fitness, dari 35 tahun lepas penulis dah amati. Cerita bab MLM, penulis buat Shuang Hor Lingzi, Morinda Noni, 30 tahun dulu. Penulis faham. 

Orang yang berbadan plus size dan maintain plus size tu biasa. Ada orang badan besar pasal genetic. Kurus kemudian jadi gemuk tu juga biasa, pasal faktor umur (baca metabolisma menurun), pemakanan, kecederaan yang menyekat aktiviti riadah, cara hidup dan beberapa faktor lain. Tapi dari badan gempal kepada kurus, ini yang tricky.

Bila muda, kalau badan naik, nak turun balik agak cepat.

Tapi bila dah berumur, kita perlu dua kali ganda effort untuk kurus. Jadi bab dua kali ganda usaha ni ramai yang tak suka. 

Ramai yang nak kurus cara mudah dan cepat. Itu yang buat crash diet atau cari ubat2/suppliment. Dan yang nampak opportunity, i.e pembuat dan penjual mula cari jalan memasarkan barangan mereka menggunakan testimoni pelanggan (ada yang diragui kesahihannya) atau artis atau ustaz selebriti untuk melariskan produk mereka. Ada produk yang hampir tiada kajian atau R&D, ramuan mixing menggunakan kaedah trial and error (”formula diperbaharui”). Hanya memperjudi logo GMP, KKM, Halal Jakim untuk meyakinkan pelanggan.

Kedai jual juice pun tumbuh macam cendawan walhal ada contradicting evidence mengatakan bahawa juicing ini menyebabkan kita ambil concentrated sugar secara berlebihan tanpa disedari. 

Teringat ada sorang kerabat, diceritakan oleh ibunya sendiri, dia rasa malu kerana berbadan besar, dan ambil suppliment sehingga timbul leukimia dan meninggal kerananya. 

Kepada yang berbadan besar, fokus kepada kesihatan diri, bukan untuk kurus semata2 dan jangan berasa malu kerana berbadan besar.

Sebaliknya, orang yang perlu berasa malu adalah orang yang dahulunya gemuk, sekarang bila dia dah kurus, dia menghina orang lain yang gemuk pula.

Jangan percaya kalau baca cerita Adele kurus pasal keto atau diet yang seumpamanya. Beliau ada rejim weight loss yang lain, hanya orang berduit macam beliau sahaja yang mampu. Dan awal2 dia ambik PT (personal trainer) dulu, dia spend lebih banyak masa dengan PT dari bersama suaminya (bekas suami). So don’t over doing it sampai yang lain terabai. 

Walaupun ini adalah prosedur pintasan, tetapi pun bukan jalan pintas. Recovery badan dan emosi memakan masa beberapa bulan.

Kepada wanita yang bersuami dan rasa nak kuruskan diri, mohon mintak izin suami terlebih dahulu. Pasal dah ada banyak kes, lepas kurus jadi janda pula. 

Hidup harus tenang-tenang sahaja OK. 

Posted by: mozaman75 | 8 Mei 2021

Pengharapan sepenuhnya yang tak kena pada tempatnya

(Bacaan 3.5 minit)

Penulis berpengalaman menjaga zakat/wakaf dan dana kebajikan syarikat2 korporat semenjak 20 tahun yang lalu, satu amanah yang keep coming back to me. Dalam masa 20 tahun, macam2 dah penulis tengok. Baik zakat atau wakaf atau derma, yang memohon atau meminta, yang genuine dan tak genuine sama2 naik. 

Tetapi ada juga golongan atas pagar yang niat awalnya genuine tapi bila terdesak mereka beralih niat kepada tak genuine. Izinkan penulis terangkan. 

Di negara kita ini, sekolah aliran arus perdana memang banyak dan insya-Allah cukup untuk keperluan masyarakat walaupun kadang2 di satu2 kawasan sekolah kebangsaan lebih melimpah pelajarnya dari sekolah di tempat lain. 

Dan negara kita juga tak sunyi dengan sekolah2 alternatif yang berpaksi agama. Madrasah, tahfiz, mahaad, pondok – macam2 nama. Ada yang dipantau majlis agama dan lebih banyak lagi yang swasta. Diwujudkan atas dasar permintaan yang tinggi dari ibu bapa yang ingin anak2 masuk jurusan agama (rela mahupun terpaksa) dan juga sebagai medium untuk kesinambungan hidup sebahagian asatizah atau ustaz/ustazah yang balik dari timur tengah atau lulusan dalam negara.  

Sangat sikit madrasah yang dibina dan dikendalikan menggunakan dana sendiri. Majoriti akan mohon belas kasihan awam untuk bantu. Dan di sini yang disconnectnya pada saya. Boleh tahan ramai ustaz yang buka mahaad tanpa perancangan rapi sebenarnya.

Ada satu kes ni penulis nak ulas. Tanpa dana peribadi atau sumber pendapatan sendiri, sebuah mahaad tahfiz ingin diwujudkan di sebuah daerah konon niatnya untuk beri perlindungan dan didikan agama kepada anak2 gadis dan belia bermasalah/terlanjur. Sekali pandang nampak ianya satu inisiatif yang baik dan sememangnya institusi agama sering dilihat sebagai penyelesaian terakhir untuk masalah akhlak yang tidak terdidik oleh ibu bapa dan sistem pendidikan arus perdana. 

Tapi bila penulis tengok Mudir (guru besar) petik satu angka, penulis dah boleh hidu masalah. RM20 juta. Yes, 20 juta ringgit angka yang dipetik untuk membina mahaad tersebut. Dan sumbangan awam lah yang ditagih untuk membantu. 

Kebanyakkan mudir2 yang penulis berhubungan sepanjang 20 tahun lepas, walaupun asrama lelaki sekarang tak siap dan dhaif misalnya, mereka tetap nak expand buka asrama perempuan pula dengan mentaliti “LailahaillaAllah” – Allah akan bantu kami. 

Penulis lebih suka kalau buat kecil2 dahulu, bagi siap, operate dan kemudian bila ada pertambahan permintaan dan keupayaan pengendalian, baru expand.

Tapi bila tiba2 nak buat maahad RM20 juta, penulis naik bingung. Logistik satu hal, demand memang tak susah (ramai keluarga yang nak hantar anak2 mereka, lebih2 lagi kalau percuma) tapi gaji tenaga pengajar, makan pakai, api air, kos2 emergency dll macammana. 

Penulis baru melawat sebuah mahaad rohingya baru2 ini, 1000 kaki persegi je. 2 tingkat. Tak besar, tapi bil api sahaja sudah melewati RM1500 sebulan. Belanja makan untuk 47 orang anak2 dan tenaga pengajar pula, penulis tak berhajat cerita dikuatiri pembaca tak selera nak makan nasi untuk berbuka nanti.  

Itu yang bila short duit (tiada peruntukan), makan malam anak2 maahad terkesan, mula lah ustaz2 merayu kat pengerusi surau/masjid yang beliau kenal, masuk dalam FB wassap media sosial mintak simpati. Yang naik mimbar akan ingatkan jemaah sebelum balik jangan lupa ambik phamplet derma kat belakang, yang duduk meja tazkirah, tebar sejadah kat belakang sebelum mula kuliah. Masa buat madrasah, perkara2 ini mungkin tak berapa diambil pusing. Tetap dengan sikap kita pikir lah bila sampai masa. Itu yang terjadi apa yang terjadi. 

Dan dalam banyak kes pembinaan madrasah yang telan belanja tinggi, ratusan ribu atau juta, tiba2 senyap, rupanya terbengkalai, dan kita tertanya2 duit kutipan awal, ke manakan ianya pergi. Pewakaf atau penderma mahukan ‘investment’ mereka berjariah (berkekalan) tapi kalau projek terbengkalai kerana awal2 dah fikir nak buat grand (yakin Allah akan bantu), adakah ianya win2 situation untuk semua? 

Ini yang penulis maksudkan, asalnya genuine, bila tersepit dah jadi tak genuine, mana2 duit lebihan guna untuk tutup lubang lain. Potensi wakaf/sedekah yang menderma terbantut. Rugilah mereka sebab perancangan jangka panjang pembangunan madrasah tidak ada atau tidak berpijak di bumi nyata. 

Sebab tu penulis cadangkan ustaz2/ustazah2 yang nak buka mahaad, fikirkan jangka panjang dan ukur baju ikut badan sendiri.  Tak de malunya mula kecik. Dari kecik, belajar ilmu pengurusan dan teknik2 untuk sustainkan operasi untuk jangka panjang supaya tak perlu meminta2. 

Gambar sekadar hiasan semata2

Penulis tutup dengan dua contoh baik, satu di Kota Baharu, operasi madrasah ditampung oleh perniagaan dobi yang dijalankan dari awal. Berkat niat berniaga dengan Allah, dari satu mesin basuh, sekarang dah ada lebih 10 mesin untuk proses 2.5 tan laundry yang masuk dalam sehari. Madrasah sekarang mampu tampung 40 orang pelajar secara percuma. 

Satu lagi contoh di sebuah negara membangun. 3-4 orang sahabat baik pakat2 berniaga dulu dengan harapan satu hari nanti keuntungan yang ada boleh tolak tepi untuk mereka buka madrasah. Kan terbalik menteliti dari kita kan. True enough, bila berniaga dengan niat murni, Allah bantu mereka kerana mereka dahulukan iktiar berniaga, mula2  sebanyak 10% keuntungan perniagaan masuk tabung projek madrasah, dapat buka madrasah kecil, perniagaan bertambah maju mereka mula yakin berniaga dengan Allah, mereka tolak tepi pula 35% untung pergi ke projek madarasah sampai mereka boleh buka madrasah besar yang menempatkan beribu2 pelajar yang belajar agama dengan percuma. Satu sen pun tak meminta2 tapi orang beri mereka ambik la, itu tunaikan hajat orang namanya. 

Dobi Madrasah – Gambar kredit Bernama

Kesimpulan, masyarakat kita kena shift atau tukar mindset. Kena usaha dulu baru minta dan buat sesuatu ikut ukuran baju sendiri. Jangan sampai masyarakat kita terbiasa dan ingat meminta2 itu lumrah kerana ustaz2 pun dilihat dok buat selalu. Beri peluang orang buat pahala tu satu alasan yang sudah dianggap lapuk oleh masyarakat moden. 

Saya mohon maaf, bukan niat nak menhentam tetapi ingin saling ingat mengingati atas dasar kasih sayang. Kalau kalian nak sedekah/wakaf, silakan tapi with judgement dan common sence. Jangan main bagi ikut dan je (beri tak fikir/ikut emosi). Di dunia ni ramai yang perlukan RM10 kita dan ingat, kalau kita ada banyak tu sahaja untuk infak/menderma, we need to make it count. Wallahualam. 

Assalamualaikum semua. Penulis mendoakan agar anda, pembaca yang budiman diberikan Allah kekuatan fizikal & mental dalam mengharungi tahun 2018 yang pasti mencabar ini. Semoga terbuka banyak ruang dan peluang untuk kita beribadat dan beramal dengan bijak dan penuh pengharapan bahawa bekalan yang sedikit ini dapat menandingi ibadah orang-orang terdahulu yang hidup lebih lama dengan umur yang lebih panjang dari kita. Saya nak kongsi beberapa cerita:

a) Dahulu penulis ada seorang sahabat yang  dipanggil Abang Burn atau nama sebenarnya Abu Bakar. Beliau seorang karyawan. Orang yang sangat sederhana dan sayang kepada kepada keluarga dan agama. Dia adalah seorang sahabat yang sentiasa membawa kain pelikat ke mana-mana. Beliau lebih yakin bersolat bersih dengan menyalin seluar yang dipakai dengan kain pelikat setiap kali hendak bersolat di luar dari rumah. Diletakkan dalam satu beg khas yang dibawa ke mana.mana. Satu tips yang baik untuk mereka yang sukar untuk kencing duduk (bagi lelaki), tak kira atas apa jua alasan mereka. Dikuatiri apabila kencing berdiri, air kencing menitis atau tak tos dan terkena seluar atau air kencing mercik ke seluar setelah terpantul dari mangkuk tandas. Menyebabkan sahnya solat akan dipersoalkan.

Beliau juga seorang yang rajin bersolat istikharah. Tidak kira samaada beliau mempunyai masalah atau persoalan kecil apatah lagi persoalan besar. Pada beliau, Allah harus berada dalam setiap posisi tatkala beliau ingin membuat sebarang keputusan. Hatta, nak hantar anak ke sekolah mana atau nak masuk pameran mana, beliau pasti akan melaksanakan istikharah, memohon Allah untuk berikan petunjuk. Semoga beliau istiqamah melaksanakannya sehingga hari ini.

b) Sekiranya penulis hendak ke airport samaada ke Subang atau KLIA, penulis akan cuba ‘melanggan’ Abang Yunus, seorang lelaki pertengahan usia yang membawa teksi semenjak 15-20 tahun lalu. Walaupun beliau seorang pemandu teksi yang segelintir melihat sebagai perkerjaan tidak profession, Abang Yunus adalah seorang yang bijaksana samada dari sudut pemikiran, pertuturan dan juga cara kerjanya.

Suatu hari penulis menaiki teksi beliau yang ditempah dari rumah ke KLIA, penulis buka topik perbincangan dengan memberitahu bahawa pilihanraya semakin hampir dan pasti ramai yang akan binggung untuk memangkah kertas undi nanti. Beliau setelah berfikir sejenak menyambut soalan penulis dengan yakin – “Tak perlu binggung Encik”. Mudah sahaja beliau menambah. Rupanya semenjak 3 atau 4 pilihanraya yang lepas, beliau tidak lepas untuk bersolat istikharah sejurus penamaan calon diumumkan.

Jokes-for-Election-7.jpg

Serigala dan Singa. Gambar sekadar hiasan.

Beliau berhujah, kita pasti akan tenang hati memangkah kertas undi, tak kira calon di kawasan kita itu siapa, parti apa. Ada yang tidak keluar mengundi kerana tiada calon yang mereka sukai, ada yang buat undi rosak kerana kedua2 calon bukan se-agama. Undi tetap undi kerana itu hak kita yang akan dipersoalkan kelak, tambah beliau. Istikharah kepada Allah, pasti Dia akan berikan jawapan yang menyakinkan. Biar Allah yang putuskan siapa calon yang perlu kita pilih. Beliau mengakhir hujah dengan penuh keikhlasan. Semoga Allah berikan kesihatan yang baik dan minda yang cergas kepada Abang Yunus, amin Ya Rabb.

Amacam, boleh buat macam Abang Yunus? Tepuk dada tanya iman.. pilihanraya dah nak dekat ni…

c) Ini cerita Ustaz Dzul, seorang guru dan sahabat penulis juga. Beliau kongsikan bagaimana beliau mengatasi kegusaran diri dan keluarga dalam menetapkan tarikh walimah atau kenduri kahwin adiknya dalam bulan angin monsun bertiup.  Biasanya orang akan buat istikharah apabila memilih calon pasangan hidup dan jarang untuk pemilihan sesuatu tarikh.

Beliau mahu yang terbaik untuk hari perkahwinan adiknya agar majlis dapat berjalan lancar. Lantas beliau dan keluar bermunajat dan beristikharah. Bila yakin, tarikh ditetapkan and menjelang walimah, sekali lagi mereka berdoa, membaca Al-Quran beramai2 dan bersolat hajat, lantas, mentari bersinar untuk beberapa jam sewaktu walimah dijalankan walhal hujan turun tak berhenti2 pada hari2 sebelum dan selepasnya. Beliau juga tidak lepas dalam merujuk Allah dalam segala hal, termasuk yang di anggap ramai sebagai remeh. Semoga Allah berikan keluasan rezeki yang halal lagi bersih kepada Ustaz Dzul.

Ini adalah kisah-kisah mereka yang merujuk kepada Allah dalam segala keputusan baik kecil mahupun besar agar kesudahannya jua menjadi baik dan mudah. Semoga kita akan terangsang untuk melakukan yang sama dan menjadikan Allah sebagai tempat rujuk untuk sebahagian besar dari keputusan yang akan kita ambil. Tapi istiharah ada pantang larangnya. Ada tata susilanya. Ikuti perkongsian seterusnya diposting yang berikutnya. Semoga anda istiqamah dalam mencari ilmu dan beribadat. Insya-Allah.

 

Posted by: mozaman75 | 1 Julai 2016

Malam Lailatul Qadar, malam istimewa untuk seluruh umat

Lailatul Qadar atau Malam al-Qadar telah diketahui umum sebagai malam yang amat istimewa buat seluruh umat Islam. Ia berdasarkan ayat al-Quran dari surah al-Qadr.

Firman Allah SWT : “Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan” (Al-Qadr :2) 
Di malam ini jugalah Nabi SAW bersungguh-sungguh beribadat melebihi malam-malam Ramadan yang lain. Disebutkan di dalam sebuah hadis :-

“Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain” ( Riwayat Muslim, no 1175 )

Hadis ada menyebut :-

a) “Adalah Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya (malam-malam Ramadan)” ( Riwayat al-Bukhari & Muslim)

b) “Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)” ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


*Gambar fenomena Arora di Iceland (sekadar hiasan)

WAKTUNYA

Para ulama antaranya Syeikh Dr Yusof Al-Qardawi menyebut bahawa tarikh malam lailatul qadar sengaja disembunyikan oleh Allah SWT agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh mencarinya, bagaimanapun ada disebutkan terdapat tanda-tanda akan kemunculan malam yang terhebat ini. Sebagai contoh hari esoknya yang tidak terlampau panas dan tidak pula terlampau sejuk, matahari pula tidak memancarkan sinaran habanya dan pelbagai lagi. Ia semuanya berasal dari hadis-hadis yang sahih.

Bagaimanapun tanda-tanda ini tidaklah begitu penting bagi individu yang benar-benar telah beribadat sepanjang malam. Ia juga tidak banyak memberikan manfaat kerana malam tersebut sudah terlepas sekiranya tanda itu dikenalpasti esoknya.

Malah, tanda ini juga adalah amat sukar menjadi tepat kerana suasana dan cuaca sesebuah negara adalah berlainan. Di negara barat contohnya mungkin sentiasa mendung kerana berada dalam musim sejuk atau musim bunga manakala di Afrika pula mungkin sedang mengalami keterikan panas matahari. Adakah malam al-qadar tidak muncul di tempat mereka kerana setiap siang mereka adalah terik?.

Jawabnya, tanda-tanda ini hanyalah contoh yang berlaku di zaman Nabi SAW dan tidak lebih dari itu.

Menurut pandangan yang paling kuat di kalangan para ulama, ianya berlaku pada salah satu malam di antara sepuluh malam yang terakhir, iaitu pada malam-malam ganjil.

Hadis Nabi menyebut:-

“Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadan” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagaimanapun, kita sekali lagi mungkin kebingungan pada tahun-tahun tertentu jika negara Arab memulakan puasa pada tarikh yang berbeza dengan negara-negara di nusantara. Justeru, pada malam ganjil menurut kiraan Malaysia atau Brunei atau Thailand, Indonesia atau Saudi yang akan terpakai?. Hal ini sukar diputuskan oleh para ulama. Akhirnya, mereka menyarankan agar dihidupkan seluruh malam sahaja. Jawapan termudah tetapi tidak memuaskan hati tentunya.

Wallahu alam.


TARIKH BERUBAH ATAU TETAP?

Sebahagian ulama mengatakannya bersifat tetap pada setiap tahun iaitu pada malam 27 Ramadan, manakala majoriti ulama termasuk Imam An-Nawawi As-Syafie pula berpendapat ianya bertukar-tukar pada setiap tahun dan tidak kekal pada satu tarikh (Al-Majmu’ 6/450).

Selain dari itu, berdasarkan dalil hadis al-Bukhari, berkemungkinan besar ianya jatuh pada tiga malam ganjil terakhir iaitu samada 25, 27 atau 29 Ramadan berdasarkan sabda Nabi SAW:-

“Aku lihat mimpi kamu (sahabat) telah menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam terakhir” ( Riwayat al-Bukhari , no 1911 & Muslim)

Dari tiga tarikh harapan itu, tarikh 27 Ramadan adalah yang paling diharapkan oleh kebanyakan umat Islam (terutamanya di negara Arab) dan ia juga dipegang oleh kebanyakan sahabat Nabi SAW serta ulama silam, sehinggakan seorang sahabat bernama Ubay Bin Ka’ab ra bersumpah ia adalah malam ke dua puluh tujuh (di zamannya secara khasnya kerana beliau telah melihat tandanya dan yakin tarikh itu tidak berubah pada tahun-tahun berikutnya) dan zaman lain umumnya, sebagaimana dalil hadis yang menyebut:-

“Malam al-Qadar dalah malam ke dua puluh tujuh” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, no 1386 )

DOA TERPENTING DI MALAM AL -QADAR

Di malam-malam akhir Ramadan ini sasaran utama kita adalah mendapatkan keampunan Allah SWT.

Inilah yang disebut dalam jawapan Nabi SAW kepada Aisyah RA :-

“Berkatalah Aisyah , Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa)? Bersabda Nabi : ” Sebutlah doa ” Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun , dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan” (Riwayat Tirmizi)

MESTIKAH DAPAT TANDA?

Sabda Nabi SAW :

“Barangsiapa yang menghidupkan malam qadar ini dan mendapatnya…” (Riwayat Muslim)

Hadis ini menyebabkan setengah ulama mengatakan bahawa setiap individu yang mendapat keberkatan malam al-qadar akan menyedari atau mengetahuinya berdasarkan hadis di atas.

Bagaimanapun, pandangan yang lebih tepat adalah seseorang individu itu mampu mendapat kebaikannya, samada ia mengetahuinya atau tidak mengetahuinya, tanpa menafikan bahawa sesetengah individu diberi rezeki dan kelebihan oleh Allah SWT untuk mengetahuinya melalui pelbagai cara termasuk mimpi, tanda menarik dan mungkin pelik dan sebagainya.

Tidak perlulah untuk solat malam di tepi pokok atau di hadapan baldi air, kerana ingin memastikan waktu pokok sujud atau air menjadi beku. Allah SWT akan memberikan tandanya menurut kehendakNya.

MASA PANJANG ATAU SEKEJAP?

Saya masih ingat, semasa saya berada di zaman kanak-kanak (Ustaz Dr Zaharuddin), tersebar banyak info kepada saya dan rakan-rakan pada ketika itu adalah :

“Waktu makbul dan berkat ini beberapa saat sahaja. Jika terlepas saatnya maka rugilah sepanjang hayat.”

Rupanya, ia hanya rekaan para pereka cipta sahaja yang tidak di ketahui tujuan mereka. Hakikatnya, waktu berkat lagi makbul ini adalah luas sepanjang malam, ia telah disebutkan oleh Allah dengan jelas iaitu :-

سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ

 Ertinya : Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar ( Al-Qadr : 5)

 Inilah yang diterangkan oleh Imam Al-Qurtubi di dalam kitabnya. (Al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 20/134 )

 Semoga kita diberikan kekuatan ibadah dan keikhlasan di waktu malam tersebut.

 Diperbaiki dari sumber asal karangan Ustaz Dr Zaharuddin Abd Rahman.

 

Posted by: mozaman75 | 30 Jun 2014

CINTAI AL QURAN

Ramadan tiba lagi dan penulis ingin mengucapkan Ramadan Mubarak kepada semua pembaca setia Secangkir Madu. Semoga puasa dan ibadah lainnya yang kita persembahkan dalam bulan yang penuh barakah ini akan menjadi lebih baik dari tahun-tahun yang terdahulu.

Bulan Ramadan adalah bulan Al Quran. Dari sudut sejarah penurunan Al Quran, para ilmuan menyebutkan bahawa Al Quran diturunkan dalam dua peringkat. Peringkat pertama, Al Quran diturunkan daripada Luh al Mahfuz iaitu di sisi Allah ke Baytul Izzah (langit dunia). Dalam peringkat ini Al Quran diturunkan secara sekaligus pada malam Laylatul Qadr iaitu malam paling utama dalam salah satu malam di dalam Ramadan. Peringkat yang kedua adalah dari Baytul Izzah kepada Rasulullah SAW melalui perantaraan Jibril (AS) yang diturunkan secara beransur-ansur selama hampir 23 tahun. Wahyu pertama yang diturunkan adalah daripada Surah Al ‘Alaq ayat 1 hingga 5 dan disampaikan oleh Jibril kepada Baginda SAW pada 17 Ramadan.

Dinyatakan melalui satu hadis sahih daripada Ibnu ‘Abbas R.A yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, “Jibril AS menemuinya (Nabi SAW) pada setiap malam di bulan Ramadan hingga ia berlalu. Nabi SAW memperdengarkan bacaan Al Quran kepadanya.” Inilah rutin yang dilakukan oleh Nabi SAW pada bulan Ramadan di mana baginda memeriksa bacaan serta hafalan di hadapan Jibril AS.

 

Wahyu Allah SWT

Tanggungjawab seorang Muslim bukan sekadar membaca Al Quran tetapi perlu menghayati dan mengamalkan Al Quran sebagai rujukan dan pimpinan dalam hidup kita. Selain sebagai rujukan dan manual hidup kepada setiap Muslim, Al Quran menawarkan perkara berikut kepada pencinta-pencintanya:

1.    Pahala berlimpah

Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah (Al Quran), maka baginya kebaikan, dan kebaikan sepuluh (kali ganda) sepertinya. Aku tidak katakan “Alif Lam Mim” itu sebagai satu huruf, akan tetapi “Alif” adalah satu huruf, “Lam” adalah satu huruf dan “Mim” adalah satu huruf.”

(Hadis riwayat Imam al-Tirmizi).

Ramai yang mengeluh kerana tidak mahir membaca Al Quran. “Bagaimana nak dapat pahala???” bentak mereka di dalam hati. Barangkali hadis berikut menenangkan mereka:

“Orang yang membaca al Quran sedangkan dia mahir/fashih sesuai hukum tajwidnya, maka dia akan ditempatkan bersama para malaikat yang mulia; sedangkan orang yang membaca Al Quran, sedangkan dia tergagap-gagap atau tersangkut-sangkut (kerana tidak mahir) membacanya maka dia mendapat dua pahala”.

(Riwayat al Bukhari dan Muslim).

Bagi orang yang tidak mahir dikurniakan 2 pahala iaitu satu pahala atas bacaannya dan satu lagi atas kesabaran dan kesungguhannya untuk membaca Al Quran biarpun tidak mahir.

2.    Al Quran sebagai talian hayat di Akhirat

Al Quran memberikan talian hayat kepada “sahabat-sahabatnya” di akhirat kelak. Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Bacalah Al Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada sahabatnya (pembacanya).”

(Hadis riwayat Imam Muslim).

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda:

“Puasa dan Al Quran itu akan memberikan syafa’at kepada hamba di hari kiamat. Puasa akan berkata, ‘Ya Rabbi, aku telah menghalanginya dari makan dan syahwat, maka perkenankanlah aku memberikan syafa’at untuknya.’ Sedangkan Al Quran akan berkata, ‘Ya Rabbi, aku telah menghalanginya dari tidur di malam hari, maka perkenankanlah aku memberikan syafa’at untuknya.’ Maka Allah Swt. memperkenankan keduanya memberikan syafa’at.”

(HR Imam Ahmad dan Ath-Thabrani).

3.    Dengar pun ada habuannya

“Dan apabila dibacakan Al Qur’an, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat”

(Surah Al-A’raf: 204).

 

HOLY QURAN

 

Kalaupun tidak sempat membaca, didiklah diri kita sifat suka mendengar bacaan al Quran samada menerusi TV, Radio ataupun membeli CD dan Kaset bacaan al quran yang dijual merata-rata. Pelaburan ini pasti berbaloi!

Posted by: mozaman75 | 13 Januari 2014

Generasi Muda Jangan Buat Kesilapan Kewangan

Assalamualaikum wr wb dan salam hormat diucapkan kepada semua pembaca Secangkir Madu yang budiman. Sudah agak lama penulis tidak berkongsi di ruangan ini. Harapan penulis masih ada yang setia membaca. Penulis juga mengharap masih belum terlambat untuk penulis mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua pembaca Secangkir Madu yang berada di Malaysia khasnya dan di seluruh dunia amnya.

Tahun baru azam baru, eloklah penulis memulakan bingkisan terawal untuk 2014 ini dengan berkongsi pendapat tentang perancangan kewangan khusus bagi generasi muda. Penulis tergolong dari kalangan generasi X (Gen X)  yang telah mengharungi dunia pekerjaan lebih dari 10 tahun dan telah melalui pelbagai masalah dan cabaran kewangan peribadi. Generasi Y (Gen Y) yang penulis golongkan sebagai golongan muda, lahir bermula awal tahun 1980an hingga awal tahun 2000. Sebahagian  dari Gen Y ini telah memasuki alam pekerjaan dan sebahagian besar juga telah memasuki alam perkahwinan.

Penulis ingin berkongsi pandangan berkaitan perancangan kewangan khusus bagi kumpulan Gen Y kerana fasa yang kumpulan ini sedang lalui adalah fasa penting yang bakal menentukan kesinambungan dan keselesaan hidup mereka untuk 10 tahun yang akan datang. Ini juga bermakna, kesilapan awal yang telah dilakukan oleh Gen Y dari sudut perancangan kewangan sekiranya ada, masih berpotensi untuk dicari jalan keluarnya.

Harus di fahami dahulu ciri-ciri Gen Y dari pelbagai sudut yang boleh penulis simpulkan melalui kajian yang telah dijalankan oleh firma Ernst & Young:

# Gen Y adalah dari kalangan yang celik dan minat IT dan berupaya untuk memaksimakan penggunaan media atau laman sosial untuk meraih peluang atau perhatian. Boleh juga dikatakan Gen Y ini rata-ratanya kuat bekerja.

Bila Gen Y terbabit dengan media sosial secara langsung, kumpulan ini akan mula membuat perbandingan diri mereka dengan rakan sebaya yang lain. FaceBook, Instagram, Google Plus dan lain-lain media sosial tidak banyak membantu. Melalui laman-laman inilah perbandingan taraf dan keperluan hidup dilakukan oleh Gen Y. Maka di sinilah wujudnya elemen “peer pressure” atau tekanan rakan sebaya dari sudut pakaian, kesihatan, kecantikan dan alat-alat sokongan dan telekomunikasi seperti komputer riba mahupun telefon bimbit dan sebagainya.

Gen Y juga boleh menjurus kepada:

1) Cara berpakaian (termasuk aksesori) mengikut aliran semasa yang menyebabkan kos pengurusan almari menjadi tinggi. Harga tudung wanita bercitarasa terkini juga boleh mencecah hampir ribuan ringgit untuk sehelai.

2) Memiliki telefon atau alat berteknologi tercanggih di pasaran, bertukar-tukar model terkini walaupun peralatan masih baru sehingga menyebabkan kerugian modal.

3) Trend berkunjung ke gimnasium atau pusat kesihatan yang mempunyai yuran bulanan yang membebankan. Lebih malang lagi apabila yuran bulan dibayar tetapi kelibat jarang kelihatan di gim atau pusat kesihatan tersebut.

4) Memiliki kenderaan yang kebarangkalian untuk diubahsuai begitu tinggi yang memerlukan modal yang agak besar.

Kereta yang diubahsuai dan memerlukan modal yang besar

Kereta yang diubahsuai dan memerlukan modal yang besar

Apa yang Gen Y perlu amati dan fikirkan dalam usaha untuk merancang kewangan yang betul dan dari peringkat awal adalah seperti berikut:

1) Sekiranya anda memasuki alam pekerjaan dengan membawa hutang pembiayaan pelajaran tak kiralah sama ada anda telah mengambil pembiayaan PTPTN atau dari Yayasan Negeri atau dari ibubapa/keluarga, keluarkan terus jumlah ansuran pembiayaan dari gaji bulanan awal anda sebelum anda menggunakkannya untuk perkara-perkara lain. Jangan lewat-lewatkan pembayaran kerana kebanyakkan pembiayaan pelajaran adalah menggunakan konsep baki berkurang (reducing balance). Lagipun tak berapa molek melewat-lewatkan pembayaran kerana bayaran balik yang kita lakukan memungkinkan pelajar yang kurang berkemampuan lain mendapatkan pembiayaan. Kepada Gen Y yang masih menuntut, belajarlah dengan baik agar anda memperolehi keputusan yang baik dan pembiayaan anda layak untuk ditukarkan kepada biasiswa (pengecualian untuk pembiayaan bank).

2) Gaji pertama, huh! jenuh! Selalunya gaji pertama akan digunakan untuk belanja satu kampung tanda kesyukuran kerana telah berjaya mendapat kerja. Boleh tangguh dulu niat tersebut bukan kerana kedekut tetapi keperluan mengumpul wang itu lebih utama. Lebih molek jikalau gaji pertama diberikan sedikit kepada kedua ibubapa. Insya Allah ada keberkatannya. Bolehlah belanja kawan-kawan setelah mendapat surat pengesahan kerja (confirmation letter) bukannya setelah mendapat gaji pertama.

3) Gen Y yang belum stabil di alam perkerjaan jangan sekali-kali menjerumuskan diri di dalam kancah “biar papa asal bergaya”. Gaji RM2300 bayar kereta RM800, modified lagi, rim besar tayar besar dan sebagainya. Pakaian. Yang kerja pejabat memang seharusnya berpakai kemas dan professional tapi semua ini boleh dibeli di jualan-jualan murah yang di adakan saban bulan di Malaysia kebelakangan ini. Tak perlu tempah baju cuffflink yang mahal semata-mata untuk bergaya ke pejabat. Cukuplah sekadar berpakaian kemas dan teratur yang boleh diperolehi dengan agak murah dan senonoh di pasaran.

4) Penggunaan kad kredit, umpama parasit yang menyerang pokok tunjang. Ini adalah penyakit bawaan yahudi.  Kalau boleh jangan biasakan atau jangan mula pakai. Kalau terpaksa pakai pun atas apa jua sebab, gunakan kad kredit Islamic yang boleh diperolehi dari bank-bank Islam. Kad kredit Islamic tidak mempunyai riba atau interest berganda (compounding interest) dan dilindungi takaful (insurans Islam) secara automatik untuk baki semasa kad kredit anda. Pastikan pembelian yang anda lakukan menggunakan kad kredit ini di sokong oleh tunai yang anda ada atau yang anda mampu adakan dalam tempoh terdekat agar bayaran penuh bulanan dapat dilangsaikan. Sekiranya anda hanya melakukan bayaran minima setiap bulan, anda tertakluk kepada kadar keuntungan yang perlu dibayar kepada pihak bank dalam lingkungan maksima 18% setahun. Kadar ini amat tinggi dan membebankan. Kepada yang telah terbeban dengan hutang kad kredit, nasihat penulis – potong kad kredit tersebut dan cuba bayar semampu mungkin setiap bulan tanpa ada ruang untuk menambah hutang.

5) Mencari pasangan – sebahagian Gen Y baru melalui zaman perkahwinan dan tak kurang juga yang sedang dalam proses mencari calon suami atau isteri. Dalam fasa ini anda cuba mengenali antara satu sama lain, cuba pastikan pasangan anda mempunya mentaliti kewangan yang akan mengimbangi mentaliti kewangan anda. Kalau kedua-dua telah menunjukkan mentaliti kewangan berhemah, inilah yang terbaik. Tapi keadaan ini amat jarang berlaku. Jadi sekiranya anda rasa anda seorang yang pemboros, cuba cari pasangan yang berhemah. Tapi janganlah pula sekiranya anda berhemah, anda mahu mencari pasangan yang boros pula. Yang paling penting jangan sampai anda dan pasangan ke dua-duanya boros. Hancur rumahtangga nanti jikalau dibebani masalah kewangan.

6) Tunang dan berkahwin – seperti yang saya nyatakan di atas, Gen Y sangat perihatin dengan trend, style dan kepedulian terhadap apa orang lain kata. Kerana itu begitu banyak majlis pertunangan dan perkahwinan yang kita hadiri kebelakangan ini dianjurkan dengan begitu mewah sekali dengan persalinan yang pelbagai, pelamin yang begitu indah, makanan yang banyak, cenderamata yang mahal, kos video dan photografi professional yang tinggi dan sebagainya. Sebahagian melaluinya dengan alasan kahwin hanya sekali (especially kaum hawa) dan tak kurang juga yang berkata “nanti apa orang kata”. Semuanya mengundang penyakit. Pasangan baru nak mendirikan rumah tangga, sudahpun dibebani dengan hutang kad kredit dan pembiayaan peribadi. Bila dah beranak pinak, hutang masih belum selesai. Adakah pada masa itu orang lain akan datang membantu melangsaikan hutang anda, mungkin tidak. Jadi tak perlu pikirkan sangat apa orang lain. Anjurlah majlis pertunangan atau perkahwinan mengikut kemampuan anda sendiri.

Pasangan muda harus bijak merancang majlis pertunangan atau perkahwinan selaras dengan kemampuan mereka

Pasangan muda harus bijak merancang majlis pertunangan atau perkahwinan selaras dengan kemampuan mereka

7) Rumah sewa atau rumah beli, adoi peninglah!! – kepada pasangan Gen Y yang baru berkahwin, sekirannya anda masih mempunyai ibubapa yang mempunyai rumah sendiri yang selesa, tinggallah bersama mereka untuk beberapa waktu sehingga anda dan pasangan boleh berdikari. Lainlah sekiranya ibubapa anda jauh di kampung dan anda serta pasangan di bandar atau rumah sempit atau tidak selesa maka tiada cara lain melainkan menyewa dan pastikan peruntukan duit sewa sebaik-baiknya tidak melebihi 30% dari gaji bulanan anda. Sekiranya anda mempunyai lebihan wang bolehlah mengintai-gintai peluang untuk membeli rumah sendiri. Amat bertuah kalau anda dapat membeli rumah yang anda mampu miliki di usia muda kerana anda meminimakan kerugian akibat spekulasi harga dan inflasi. Bila beli di waktu muda, jangkamasa pembiayaan akan menjadi lebih panjang dan selesa.

8) Pelaburan (telus Syariah) dan caruman Takaful sebaiknya dimulakan dari awal kerana lebih lewat anda melabur atau mencarum, lebih tinggi komitmen bulanannya. Sila rujuk pakar pelaburan dan Takaful untuk penerangan yang lebih terperinci.

9) Melancong…generasi muda sekarang memang gemar melancong. Samaada bersendirian, mahupun bersama kawan-kawan atau keluarga. Dengan kadar tiket kapal terbang dan hotel yang kian kompetitif, ramai yang “mampu” untuk pergi bercuti samaada di dalam mahupun di luar negara. Pada pendapat penulis, semurah mana harga tiket mahupun tempat tinggal, perancangan percutian yang perlu bermalam seharusnya diteruskan sekiranya anda mempunyai duit lebihan. Tiket, petrol, sewa kereta, sewa bilik, makanan, tiket masuk pusat rekreasi dan sebagainya bila dicampurkan boleh menjadi satu beban. Bagaimana murah anda ingat satu-satu pakej percutian tersebut, ianya bukan merupakan satu keperluan tetapi lebih menjurus kepada satu keinginan (needs vs wants). Jangan sampai anda perlu berhutang untuk pergi melancong.

Perkongsian ini adalah sebagai satu cadangan untuk Gen Y mengubah atau merombak pendirian dan cara pengurusan kewangan dalam usaha untuk meminimakan beban hutang atau masalah yang mungkin terpaksa ditanggung di kemudian hari akibat kesilapan dalam berbelanja pada masa sekarang. Skop berkaitan pengurusan kewangan itu sendiri sebenarnya luas dan apa yang dinukilkan hanya sebahagian sahaja hasil dari pemahaman, pemerhatian dan pengalaman penulis sendiri. Moga-moga bermanfaat. Wallahua’lam.

– mozaman75-

Posted by: mozaman75 | 24 Mac 2012

MERENUNG ASAL KEJADIAN MANUSIA

Al-Quran adalah mukjizat sepanjang zaman. al-Quran itu begitu istimewa kerana ia adalah kitab yang diwahyukan dan bukannya dicipta atau diilhamkan oleh mana-mana ahli akedemik atau ahli fikir. Sehingga kini usaha-usaha untuk mendedahkan keraguan yang wujud di dalam al-Quran tidak pernah berjaya dan tidak akan berjaya sampai bila-bila. Jawapan mudah, al-Quran adalah WAHYU TUHAN bukan ucapan-tulisan insan.

Wahyu Allah SWT

Salah satu contoh kehebatan al-Quran adalah tentang FAKTA PENCIPTAAN MANUSIA. Allah SWT berfirman:

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah (‘alaqah), lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang (idham) lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha Sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik. (Surah Al Mu’minun: 12-14)

Berdasarkan kajian saintis Muslim, yang dimaksudkan di dalam al-Quran bahawa manusia berasal daripada “saripati yang berasal dari tanah” adalah protein, sari-sari makanan yang kita makan yang semuanya berasal dan hidup dari tanah. Yang kemudian melalui proses metabolisme  yang ada di dalam tubuh di antaranya menghasilkan hormon (sperma), kemudian hasil dari pernikahan (hubungan seksual), maka terjadilah percantuman antara sperma (lelaki) dan ovum (sel telur wanita) di dalam rahim. Kemudian berkembang hingga mewujudkan bentuk manusia yang sempurna (seperti dijelaskan dalam ayat di atas).

Evolusi kejadian manusiaPara ahli dari barat baru menemukan masalah pertumbuhan embrio secara bertahap pada tahun 1940 dan baru dibuktikan pada tahun 1955, tetapi dalam al-Quran dan Hadis yang diturunkan 15 abad lalu hal ini sudah dihuraikan secara detail. Ini sangat mengagumkan bagi salah seorang saintis terkemuka dari Amerika yaitu Prof. Dr. Keith Moore, beliau mengatakan : Saya takjub pada ketepatan ilmiyyah pernyataan al-Quran yang diturunkan pada abad ke-7 M itu. Selain itu beliau juga mengatakan, Dari ungkapan al-Quran dan hadis banyak mengilhami para scientist (ilmuan) sekarang untuk mengetahui perkembangan hidup manusia yang bermula dengan sel tunggal (zygote) yang terbentuk ketika ovum (sel kelamin betina) bercantum dengan sperma lelaki. Kesemuanya itu belum diketahui oleh para saintis sehinggalah pada abad ke-18!!!”

Selain daripada fakta ilmiah di atas, al-Quran sekali lagi memberikan inspirasi kepada para saintis khususnya dalam bidang embriologi untuk memahami fenomena embrio secara tepat. Sebagai contohnya, para saintis menemui bahawa selama embrio berada di dalam kandungan seorang ibu, ada tiga selubung/lapisan yang menutupinya iaitu dinding abdomen (perut) ibu, dinding uterus (rahim), dan lapisan tipis amichirionic. Ia juga disebut sebagai kegelapan di dalam perut, kegelapan dalam rahim, dan kegelapan dalam selaput yang menutup/membungkus anak dalam rahim. Hal ini ternyata selari dengan apa yang dijelaskan oleh Allah di dalam al-Quran:

Dia menjadikan kamu dalam perut ibumu kejadian demi kejadian dalam TIGA KEGELAPAN. Yang (berbuat) demikian itu adalah Allah, Tuhan kamu, Tuhan Yang memiliki kerajaan. Tidak ada Tuhan selain Dia; maka bagaimana kamu dapat dipalingkan? (Surah Az Zumar: 6)

Ramai di kalangan Muslim pada hari ini mendakwa al-Quran adalah rujukan dalam kehidupan mereka. Malangnya, dakwaan ini hanyalah lahir daripada lidah semata-mata dan bukannya lahir daripada keimanan dan penghayatan terhadap kebenaran al-Quran yang dibaca, difahami dan dikaji. Mungkin kita boleh bertanya kepada diri masing: Berapa hari dalam seminggu kita membaca al-Quran???

Posted by: mozaman75 | 24 Mac 2012

Waktu Membisikkan Kata

Perspektif hidup

 

 

 

 

 

 

 

 

Salam pengunjung setia Secangkir Madu. Dalam usaha penulis mengemas kotak-kotak yang mengandungi dokumen-dokumen lama, penulis telah terjumpa secebis sajak yang penulis karang semasa menuntut di universiti satu waktu dahulu. Satu sajak yang ditulis sebagai suntikan semangat tatkala berdepan dengan tekanan menjadi seorang pelajar jauh di perantauan. Ingin penulis berkongsi dengan pembaca semua agar dapat menjadi penguat dan pencetus semangat dalam menempuh kehidupan sehari-harian. InsyaAllah.

…………………………………………………………………….

Waktu membisikkan kata
Teruskan langkahmu
Yang menang atau yang kalah
Aku akan berlalu

Sekarang aku di sini
Menatap keperibadianmu
Yang riang atau yang curiga
Tanpa berasa hampa

Sekarang aku di sini
Memimpinmu ke jarak jauh
Di kala kau diam
Aku tidak menunggu
Di kala kau menukar pedoman
Aku tidak keliru

Waktu membisikkan kata
Hangatkan citamu
Ke arah maju
Gesaan atau wawasan
Aku tetap ke hadapan

…………………………………………………………………….

Ikhlas,
Zaid Rindu
Arau, Perlis
1 Oktober 1993

Posted by: mozaman75 | 11 Januari 2012

Habbatus Sauda, Raja Ubat

Agama Islam merupakan agama yang menyeluruh, sempurna dan menyelesaikan segala masalah manusia. Maka bagaimana mungkin kita dibiarkan mencari solusi sendiri di luar Islam. Sebuah hadis daripada riwayat Muslim menerusi Abu Zubair, daripada Jabir bin Abdullah, daripada Nabi Muhammad s.a.w. bahawa baginda bersabda yang bermaksud:

“Setiap penyakit pasti ada penawar nya. Jika ubat sudah bertepatan dengan penyakit, penyakit itu pasti akan sembuh dengan izin Allah SWT”(riwayat Ahmad).

Di dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Muslim daripada Ata’, daripada Abu Hurairah r.a bahawa beliau berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda bermaksud:

“Setiap kali Allah s.w.t. menurunkan penyakit, pasti Allah s.w.t. menurunkan ubat dan penawarnya” (Riwayat Hakim).

Nama saintifik - Nigella Sativa

Habbatus sauda atau Syuwainiz merupakan sejenis tumbuhan yang banyak didapati di kawasan Mediterranean dan di kawasan beriklim gurun. Ia merupakan biji hitam yang telah dikenali semenjak ribuan tahun yang lalu dan digunakan secara meluas oleh masyarakat Timur Tengah dan India untuk mengubati berbagai penyakit.

Jintan hitam diperoleh dari bijinya. Pokoknya mengeluarkan bunga berwarna ungu muda atau putih. Buahnya berbentuk kapsul yang mengandungi banyak biji kecil berwarna putih dan berbentuk trigonal. Setelah matang kapsulnya terbuka dan biji-biji ini akan berubah menjadi hitam. Minyak dari jintan hitam ini di jumpai dalam makam Firaun Tuthankamen. Ia juga digunakan oleh Cleopatra untuk kesihatan dan kecantikannya.

Jintan hitam juga digunakan ahli pengubatan Yunani untuk mengubat sakit gigi, sakit kepala, hidung tersumbat dan mengatasi parasit usus seperti cacing. Biji habbatus sauda mengandungi 40 % minyak constan dan 1,4% minyak aviary, juga mengandungi 15 amino acid, protein, calcium, zat besi, sodium dan potassium. Sedangkan komposisi paling penting adalah Thymoquinone (TQ), Dithymo-ouinone (DTQ), Thymohydro-quinone (THQ) dan Thymol (THY).

Ada juga ahli perubatan yang menolak wujudnya sebuah herba yang boleh menyembuhkan penyakit. Tetapi ketika ilmuwan Islam melakukan ujian klinikal dan menyimpulkan hasilnya, mereka baru mengakui kebenarannya.

Produk yang dihasilkan dari bunga menjadi ramuan untuk pelbagai produk kesihatan

Jintan hitam atau habbatus sauda atau dalam bahasa ilmiahnya, Nigella Sativa telah digunakan di kebanyakan Negara Timur Tengah untuk pengubatan selama lebih 2000 tahun. Banyak kajian telah dijalankan. Bagaimanapun kebanyakannya ditulis dalam bahasa Arab. Oleh sebab itu pendedahan terhadap dunia antarabangsa tidak banyak dibuat.

Rasulullah s.a.w. sendiri ada menyebut mengenai kelebihan habbatus Sauda iaitu sabdanya: “Hendaklah kamu memakan habbatus sauda (jintan hitam) kerana ia mengandungi ubat untuk segala jenis penyakit melainkan as-Saam (mati)” (Riwayat at-Tirmizi).

Daripada Khalid bin Sa’ad, dia berkata: “Kami keluar dan bersama kami ada Ghalib bin Abjar. Dia sakit di tengah jalan, lalu kami pergi ke Madinah, sedangkan dia dalam keadaan sakit. Lalu Ibnu Abi Atiq menjenguknya seraya berkata kepada kami: “Ubatilah dengan habbah as-Sauda ini. Ambillah darinya lima atau tujuh biji, lalu tumbuklah. Kemudian titiskan pada hidung seperti titisan minyak di sisi ini dan di sisi ini.”

Aisyah bercerita kepadaku bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya habbah as-Sauda ini adalah penyembuh dari segala penyakit kecuali penyakit sham. Ditanyakan, apa itu penyakit sham. Beliau berkata, sham adalah kematian.”( Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

“Syuwainiz ( habbatus sauda) adalah ubat daripada segala penyakit kecuali as-Saam iaitu mati” (Riwayat Tirmizi).

Habbatus sauda digunakan secara tradisional untuk beberapa keadaan seperti untuk menghasilkan kulit muka yang cerah, membantu merawat batuk dan asma, kencing manis, selesema, keguguran rambut, tekanan darah tinggi, masalah untuk tidur, sakit-sakit otot dan sendi, rasa loya dan muntah, mengurangkan kolesterol, merawat batu karang dan sebagainya.

Ibnu Sina di dalam bukunya Canon of Medicine menyatakan habbatus sauda merangsang tenaga dan membantu pemulihan kepenatan dan semangat.

Ibnu Qayyim pula di dalam bukunya Medicine of the Prophet menyatakan habbatus sauda berupaya memulihkan penyakit-penyakit seperti batuk, bronchitits, masalah perut, kecacingan, masalah kulit seperti jerawat, sakit senggugut dan haid yang lain, menamba susu badan, menambah pengaliran air liur dan sebagainya.

Terdapat juga kajian yang mendapati habbatus sauda mempertingkatkan daya tahan sakit (immune system). Imuniti adalah kemampuan tubuh untuk mencipta kekebalan khusus, kuat dan sempurna untuk melawan segala unsur yang menyerang tubuh. Justeru, sistem kerja habbatus sauda dalam tubuh manusia adalah dengan memperbaiki, menjaga dan meningkatkan sistem kekebalan tubuh manusia terhadap berbagai penyakit. Ia juga mempunyai senjata khusus untuk menghancurkan segala jenis penyakit.

Jintan hitam juga mampu untuk melarutkan toksin atau racun dalam tubuh manusia. Buktinya, apabila kita masukkan vetsin ke dalam air panas, tunggu hingga larut. Lalu masukkan iodin ke dalam vetsin tersebut. Air tersebut akan berubah menjadi kebiruan. Ini dapat dimisalkan bahawa tubuh manusia kemasukan bahan kimia yang berupa racun. Setelah itu, masukkan serbuk jintan hitam yang telah ditumbuk ke dalam larutan vetsin tersebut dan aduklah. Warna air itu dengan serta merta akan melarutkan warna kebiruan hingga jernih kembali.

Racun dapat mengganggu metabolisme dan mengurangi fungsi organ penting seperti hati, paru-paru dan otak. Keracunan dapat menimbulkan gejala berupa diarea, pening, gangguan pernafasan dan daya konsentrasi yang menurun. Habbatus sauda yang mengandungi Saponin dapat meneutralkan dan membersihkan racun dalam tubuh.

Habbatus sauda juga mampu untuk mengatasi gangguan tidur dan stres. Ini disebabkan Saponin yang terdapat dalam habbatus sauda memiliki fungsi seperti kortikosteroid yang dapat mempengaruhi metabolism karbohidrat, protein dan lemak serta mempengaruhi fungsi jantung, ginjal, otot tubuh dan saraf. Saponin berfungsi untuk mempertahankan diri dari perubahan lingkungan, gangguan tidur dan dapat menghilangkan stres.

Sebenarnya banyak lagi kajian-kajian yang perlu dilakukan untuk mengetahui rahsia khasiat habbatus sauda yang disebut oleh Nabi Muhammad SAW sebagai ubat bagi segala penyakit. Mudah-mudahan ia dapat memantapkan lagi keyakinan kita terhadap Islam dan perubatan Islam.

Oleh: Ustaz Wahid Abd Haniff

Sumber: Majalah SOLUSI

Posted by: mozaman75 | 19 September 2011

Kem Latihan Ramadan: Ciri-ciri Orang Yang Bertaqwa

Untuk tatapan semua pembaca Secangkir Madu

Kesinambungan dari matlamat Kem Latihan Ramadan bagi mengeluarkan graduan bertaqwa, di sini saya ingin kongsikan firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah ayat 1 – 5 berhubung ciri-ciri orang yang bertaqwa yang bermaksud:

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

“Alif Laam Miim, Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa. (iaitu) mereka yang beriman kepada perkara ghaib, yang mendirikan solat, dan menafkahkan  sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka, dan mereka yang beriman kepada kitab (Al-Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-kitab yang telah diturunkan sebelum kamu, serta mereka yang yakin adanya (kehidupan) akhirat. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang beruntung.”

Berdasarkan kepada ayat yang telah disebutkan di atas dapatlah diambil pengajaran bahawa antara ciri-ciri orang yang bertaqwa ialah:

1. Mereka yang meyakini perkara-perkara ghaib seperti adanya Allah s.w.t, malaikat, syurga, neraka, dosa dan pahala;

2. Mereka yang sentiasa mengambil berat tentang solat;

3. Mereka yang sentiasa membelanjakan harta yang dikurniakan kepada mereka sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.;

4. Mereka yang meyakini kitab Al-Quran dan kitab-kitab sebelumnya; dan

5. Mereka yang yakin dengan kehidupan selepas mati (akhirat).

Mereka yang mempunyai ciri-ciri inilah yang sentiasa berada dibawah petunjuk dan bimbingan Allah s.w.t dan mereka inilah orang-orang yang berjaya – dunia dan akhirat-. Marilah sama-sama kita membentuk diri kita sempena Kem Latihan Ramadan ini, dengan ciri-ciri yang tersebut di atas. Semoga dengan berakhirnya Kem Latihan Ramadan nanti, kesemua ciri yang tersebut di atas terdapat pada diri kita semua.

Sumber: Ustaz Mohd Nasir Ismail

Older Posts »

Kategori